Mahasiswa mahu Kerajaan realistik nilai semula gaji minima

Mahasiswa  mahu Kerajaan realistik nilai semula gaji minima

Presiden, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menggesa kerajaan Pakatan Harapan mengambil serius berkaitan bantahan kumpulan pendesak yang disertai mahasiswa, NGO,  aktivis,  dan persatuan sekerja dalam demontrasi dilakukan di hadapan bangunan Parlimen pada Rabu lepas.

Presidennya Muhammad Syafiq bin Noor Azman berkata, justifikasi dan kajian secara terperinci perlu dinilai terlebih dahulu oleh kerajaan untuk menentukan gaji minima,

“Keputusan kepada penetapan gaji minimum ini perlu adil di pihak rakyat. Penetapan gaji minimum kepada RM1050 seharusnya lebih realistik dengan keadaan semasa rakyat yang dijerut dengan kos sara hidup yang menekan.

“Gaji minimum RM1,050 perlu dinaikkan kepada RM1,500 sebenarnya memberikan kesan yang signifikan kepada banyak pihak termasuk mahasiswa.

“Mahasiswa yang sudah bergraduasi dari alma mater masing-masing apabila diterima bekerja dari syarikat-syarikat swasta rata-ratanya memperolehi gaji kurang dari RM1500 bahkan perkara ini tidak setimpal dengan kelayakan ijazah yang diperoleh selama empat tahun pengajian,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

PMIUM turut mencadangkan agar gaji minimum ini dinilai mengikut nilai lokaliti setempat para pekerja.

“Hal ini kerana kos sara hidup di Kota Raya lebih menekan daripada kos sara hidup di desa mahupun kampung. Kerajaan perlu mengambil kira banyak faktor sebelum penetapan gaji minimum dikeluarkan iaitu dengan mengambil kira kos perumahan, kos persekolahan anak, kos pengangkutan, kos makanan dan lain-lain kos yang melibatkan seisi rumah untuk meneruskan hidup di ibukota.

“Tambahan pula, sekiranya dinilai kos yang terpaksa ditanggung oleh graduan yang baru bergraduasi dari universiti, mereka memulakan pekerjaan dan terpaksa menanggung beban yang sama dengan mengambil kira kos membayar hutang PTPTN, kos untuk mendirikan rumahtangga, kos perumahan, kos pengangkutan mahupun kos kehidupan harian,” ujarnya lagi.

Pada Rabu sekumpulan 100 orang hadir di bangunan Parlimen hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap kenaikan gaji minimum sebanyak RM50 yang dilaksanakan kerajaan.

Mereka terdiri daripada kira-kira selain 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Bantahan yang diketuai Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J. Solomon.

Menteri Sumber Manusia Malaysia M. Kulasegaran pada Rabu  berjanji akan membawa isu kadar gaji minima RM1,050 seperti yang diputuskan oleh Putrajaya sebelum ini dikaji semula di peringkat kabinet.