Mahasiswa perlu bersuara desak mansuh AUKU

Mahasiswa perlu bersuara desak mansuh AUKU

Pada tahun 1971, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digubal. Secara perlahan-lahan fikrah mahasiswa dimandomkan apabila potensi mereka dirampas dan dihambat oleh undang-undang yang tercetus akibat kegilaan politik. Tidak sekadar membunuh semangat kemahasiswaan, AUKU juga merendahkan nilai kersarjanaan apabila para cendekiawan universiti sering diarah tutup mulut.

Pasca aktivisme mahasiswa tahun 2010, tidak kurang daripada 30 mahasiswa IPTA dan IPTS seluruh negara yang menjadi mangsa akta regresif ini. Mereka dihukum dengan bermacam kesalahan tatatertib yang tidak masuk akal. Hal ini boleh dibuktikan sendiri oleh bekas-bekas aktivis mahasiswa seperti Adam Adli, Safwan Anang, Fahmi Zainol, Syahid Zaini, Haziq Aziz, Anis Syafiqah, dan ramai lagi.

Apa yang lebih membimbangkan, semangat untuk memansuhkan AUKU ini menjadi pudar dalam Kerajaan baharu ini. Tidak seghairah semasa di era kepembangkangan ekoran birokrasi dan pertimbangan yang terlalu rumit. Mahasiswa perlu terus mendesak agar AUKU tidak menjadi seperti Biro Tata Negara (BTN) yang masih terus diberi nyawa.

Ada pihak yang mengatakan hanya 20% kandungan AUKU bersifat regresif, selebihnya adalah berbentuk prosedural bagi tujuan urus tadbir Universiti. Oleh itu AUKU tidak perlu dimansuhkan secara total tetapi hanya perlu melalui beberapa pindaan.

Malaysia yang baharu perlu bergerak lebih jauh ke hadapan dengan tidak lagi memikirkan soal kemahasiswaan semata-mata, tetapi jauh melangkaui keperluan pembaharuan sistem pengajian tinggi secara total. Tuntutan pemansuhan AUKU bukan hanya soal ingin membebaskan mahasiswa berpolitik dan beraktivisme, tetapi lebih penting adalah untuk mengembalikan fungsi institusi pengajian tinggi sebagai gedung intelektual dan pemajuan masyarakat.

Inilah falsafah yang terkandung di sebalik Magna Charta Universitatum, iaitu dokumen yang menterjemah terma kebebasan akademik. Magna Charta Universitatum atau maksudnya Undang-Undang Besar Universiti ini merupakan satu deklarasi yang ditanda tangani lebih 800 universiti daripada lebih 80 negara, pada tahun 1988 di Universiti of Bologna, Italy.

Prinsip fundamental Magna Charta Universitatum menyatakan, “Kebebasan dalam penyelidikan dan latihan adalah prinsip asas kehidupan universiti. Kerajaan dan universiti, dalam jarak (pemisahan kuasa) tertentu, mesti menghormati prinsip asas ini. Universiti menolak sikap tidak bertoleransi dan sentiasa terbuka untuk berdialog. Sebuah universiti merupakan tempat pertemuan yang ideal untuk para guru yang mampu menyampaikan pengetahuan mereka dan guru-guru ini mesti diberi kelengkapan secukupnya untuk membangunkan ilmu mereka melalui penyelidikan dan inovasi. Para pelajar pula berhak, boleh dan sanggup memperkaya fikiran mereka dengan ilmu-ilmu yang disampaikan itu.”

Prinsip ketiga ini meletakkan kebanyakkan universiti dalam negara kita berada dalam dilema tersendiri. Jika universiti sepatutnya menjarakkan diri daripada politik sempit kepartian, AUKU pula dalam kebanyakkan klausanya memberi ruang besar kepada orang-orang politik melalui Kementerian melibatkan diri dalam 90% aspek pengurusan universiti.

Jika universiti sepatutnya membebaskan para intelegensia berkarya dan mencipta, AUKU pula memberi kuasa untuk ahli akademik dihukum hanya kerana mengeluarkan pandangan yang tidak sesuai dengan selera pentadbir Universiti dan Kerajaan.

Jika universiti sepatutnya memberi kebebasan untuk mahasiswa berorganisasi dan beraktiviti, AUKU pula menjadi punca kuasa untuk mahasiswa dihukum hanya kerana mengamalkan hak-hak membantah yang dibenarkan demokrasi.

Dalam bahagian kebebasan mahasiswa pula, Magna Charta Universitatum menyatakan, “Setiap Universiti harus – dengan pertimbangan dan kesesuaian tertentu – mesti memastikan kebebasan pelajarnya dilindungi. Pelajar perlu menikmati kebebasan di mana mereka boleh mengeksplorasi budaya dan latihan untuk keperluan mereka.”

Di sini berdirinya prinsip kebebasan mahasiswa yang telah lama hilang daripada lanskap universiti dalam negara. Pasca penggubalan AUKU, Kerajaan terus merendahkan upaya mahasiswa yang menyebabkan mahasiswa terlupa akan kemampuan sebenar mereka.

Memetik kata-kata Mohammad Natsir, “pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah geladangan ummah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat”.

Selain AUKU, Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia ditadbir oleh beberapa undang-undang lain iaitu Akta UITM (173), Akta IPTS (555) dan Akta Institusi Pelajaran (173). Semua akta ini mengandungi semangat yang persis seperti AUKU.

Kesimpulannya, Malaysia yang baharu sewajarnya mendatangkan Universiti yang baharu. Ini memerlukan lebih daripada sekadar pemansuhan AUKU. Kerajaan perlu memberi kepercayaan kepada universiti untuk beroperasi secara mandiri tanpa ada lagi kekangan yang melimitkan kebebasan intelektual dan kemahasiswaan. Hanya dengan cara ini, universiti akan memperoleh kembali nilai-nilai yang telah lama dihilangkan oleh AUKU.

 

*Penulis adalah  Pengelola  AMK Malaysia merangkap Pengarah Strategi PH Malaysia.