Malaysia Dateline

Mahasiswa perlu jadikan universiti medan gilap keterampilan, personaliti diri, kata Isnaraissah

Setiap mahasiswa perlu menjadikan menara gading sebagai medan menggilap keterampilan, kepimpinan dan personaliti diri dengan menyertai pelbagai aktiviti atau program berpersatuan anjuran universiti, kata Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis.

Beliau berkata universiti bukan sekadar untuk menuntut ilmu akademik tetapi ia merangkumi peningkatan kemahiran insaniah melalui keterlibatan dalam pelbagai aktiviti.

Berkongsi pengalaman semasa menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Isnaraissah berkata beliau terlibat aktif dengan aktiviti berpersatuan termasuk menjadi anggota biro dalam majlis perwakilan pelajar yang banyak memberi pengalaman berharga buatnya.

“Saya secara tidak langsung belajar asas kehidupan seharian, bagaimana untuk berinteraksi, membina jaringan komunikasi, sekali gus meningkatkan pembangunan diri yang akhirnya mampu diaplikasi untuk berbakti kepada masyarakat dan negara,” katanya yang merupakan Alumni Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan UMS dalam kenyataan, pada Khamis.

Isnaraissah yang kini dalam proses penyiapan akhir pengajian Sarjana Kejuruteraan Minyak dan Gas di UMS juga berkata kemahiran berkomunikasi dengan baik, keterampilan, personaliti dan dedikasi amat penting diterapkan dalam diri setiap pelajar kerana ia merupakan antara aset penting selain kecemerlangan akademik dalam menentukan kebolehpasaran graduan.

Beliau turut menggalakkan para graduan mengisi Sistem Kajian Pengesanan Graduan kerana ia adalah data sangat penting yang diperlukan untuk melihat hala tuju graduan universiti selepas tamat pengajian dan data berkenaan tidak hanya berguna kepada universiti tetapi juga kepada negara.

Ini bagi membolehkan kerajaan dapat bersama-sama menilai dan memperbaiki mana-mana perkara berkaitan meningkatkan kebolehpasaran graduan selain melihat peluang boleh ditawarkan kepada graduan setelah tamat pengajian, katanya.– BERNAMA