Mahasiswa PH anggap SOP PKP 3.0 tunggang-langgang

Oleh Oleh MOHD ALI HASHIM

Ketidaktentuan kerajaan membuat keputusan secara tunggang-langgang membuktikan kerajaan sedia ada gagal dan tidak mempunyai satu pelan yang strategik bagi membendung penularan wabak Covid-19 sehingga mengelirukan rakyat.

Mahasiswa Pakatan Harapan (MPH) dalam kenyataan kepada Malaysia Dateline turut kesal apabila prosedur operasi standard (SOP) senantiasa berubah mengikut hari dan citarasa pihak berkuasa.

MPH berpendapat perubahan tersebut tidak langsung menampakkan hasil yang baik sebaliknya memburukkan keadaan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Pelaksanaan PKP 3.0 jelas bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri pada Mac lalu bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan PKP secara menyeluruh dalam tempoh terdekat dan ini sekali gus membuktikan kerajaan tidak mempunyai sebarang pelan rapi dalam mengatasi pandemik Covid-19.

“Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) turut terkesan dengan pengumuman separuh masak PKP 3.0 apabila penutupan IPT menimbulkan tanda tanya berkenaan kepulangan pelajar ke kampus yang telah dihantar pulang ke halaman masing-masing melalui program penghantaran pulang pelajar-pelajar IPT baru-baru ini.

“Lebih mengelirukan apakala Kementerian Pengajan Tinggi (KPT) menyatakan semua pelajar yang pulang ke rumah untuk hari perayaan hendaklah kembali semula ke kampus pada 15 hingga 20 Mei.

“Yang menjadi persoalan adakah semua IPT tidak dapat menjalankan proses pembelajaran sehingga tamat tempoh PKP?,” kata kenyataan tersebut.

Malah, MPH turut kesal kerana kelembapan dan ketidakseragaman polisi antara kementerian ini tidak sepatutnya berlaku dan perubahan polisi pada saat akhir merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima terutamanya ketika majoriti rakyat merana akibat pandemik tersebut.

Persoalan selanjutnya kata MPH, sekiranya pelajar tidak dibenarkan pulang ke kampus, bagaimana keadaan bagi pelajar yang tidak membawa pulang kelengkapan pembelajaran ke kampung halaman mereka.

Jelasnya, hal tersebut berlaku semasa PKP 1.0 apabila kebanyakan mahasiswa menghadapi kekangan dalam mengakses pembelajaran ekoran tiadanya kelengkapan yang mencukupi serta liputan rangkaian internet yang terbatas.

Tambah MPH lagi, tindakan kerajaan yang sering ‘flip-flop’ dalam pembikinan polisi adalah suatu yang tidak dapat diterima dan menyebabkan rakyat merana dan menimbulkan kemarahan yang berterusan.