Mahasiswa pro-Pas perlu terbuka semeja dengan Mahasiswa Amanah

Mahasiswa pro-Pas perlu terbuka semeja dengan Mahasiswa Amanah

Ekoran “putus hubungan dengan Amanah” yang didakwa disebut Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, Syukri Alimar Shidi seperti tular di media sosial, mahasiswa diajak sepakat demi hak dan keadilan mereka merentas politik kepartian.

Pengerusi Mahasiswa Amanah Nasional, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda berkata, tindakan Gamis menarik diri daripada satu forum anjuran Prihatin Politik (Pripol) yang dijadualkan berlangsung malam ini bukan pertama kali berlaku.

“Bukanlah kali pertama mahasiswa Pas enggan untuk berforum sepentas dengan Mahasiswa Amanah. Atas sebab itulah,saya rasakan perkara ini perlu dihentikan segera dan penjelasan perlulah diberikan secara rasmi oleh Gamis,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Forum bertajuk ‘Gerakan Mahasiswa Islam dan Politik Semasa’ dengan menggandingkan pemimpin mahasiswa menyokong Amanah dan Pas itu dirancang disiar secara langsung menerusi laman Facebook Pripol mulai pukul 9 malam.

Difahamkan Syukri kemudiannya telah menarik diri selepas tersebarnya poster forum itu dengan alasan tiada hubungan lagi dengan Amanah seperti tular di media sosial.

Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada sebarang maklum balas daripada pihak Gamis mahupun Syukri berhubung penarikan diri tersebut.

Mengulas tentang keratan mesej satu kumpulan WhatsApp Mahasiswa Amanah berkenaan saranan Fadhli supaya isu Gamis menarik diri itu diuar-uarkan, beliau berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk menyerang pimpinan pertubuhan pelajar tersebut.

“Saya juga sekerasnya menafikan bahawa kami di peringkat Mahasiswa Amanah ingin membunuh karakter Presiden Gamis tersebut.

“Apa yang lebih penting dalam isu ini ialah sampai bila mahasiswa hendak bercakaran sesama sendiri dan enggan berdiskusi sekalipun untuk kepentingan mahasiswa semata-mata kerana kita berada dalam kelompok yang berbeza?” soalnya.

Sehubungan itu, Fadhli menyeru semua mahasiswa berlapang dada untuk meraikan percambahan walaupun berbeza pendirian politik.

“Sepatutnya sebagai mahasiswa yang menyanjung tinggi daya intelektual, kita perlu sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk berada semeja dengan sesiapapun termasuk musuh kita,” ujarnya.

Respon Presiden Gamis yang tular ini mengakui pihaknya sudah putus hubungan dengan Amanah

Dalam hal berkaitan, rata-rata mahasiswa menyifatkan keputusan Gamis menarik diri daripada dialog bersemuka dengan Mahasiswa Amanah Nasional itu adalah tidak matang.

Mereka berpendapat pelajar yang cenderung kepada Pas perlu menolak politik kebencian dengan bersatu bersama Mahasiswa Amanah demi kepentingan penuntut universiti secara keseluruhannya.

TAGS