Mahasiswa sambut baik inisiatif Food Bank Malaysia di universiti

Mahasiswa sambut baik inisiatif Food Bank Malaysia di universiti

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik komitmen Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk meluaskan inisiatif Food Bank Malaysia di universiti tempatan seluruh negara.

Penolong Setiausaha Agong 1 PKPIM, Ahmad Farhan Rosli berkata, lebih bermakna apabila pihak kementerian mempelawa persatuan dan pimpinan mahasiswa bagi sama-sama menjayakan inisiatif tersebut.

Sehubungan itu, ujarnya, NGO pelajar dan persatuan mahasiswa di universiti harus bersama-sama menjayakan usaha tersebut bagi memastikan soal makan minum mahasiswa terjamin.

“Sebagai mahasiswa, saya memahami dan mengetahui sejumlah besar kawan-kawan mahasiswa menghadapi kekangan kewangan hingga menyebabkan mereka perlu mengikat perut dan tidak makan secukupnya.

“Kita pasti mengingati kisah mahasiswa kelaparan yang pernah tersebar sebelum ini. Sudah pasti kita tidak mahu perkara ini berulang dan terus menjadi igaun dalam kalangan mahasiswa hingga boleh menyebabkan pelajaran mereka terganggu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Farhan berkata, pelbagai usaha telah dilakukan sendiri oleh mahasiswa bagi membendung isu tersebut tidak terkecuali PKPIM.

Jelasnya, program Dapur HELWA yang dilaksanakan di beberapa buah institusi pengajian tinggi bagi menyediakan makanan percuma untuk mahasiswa mulai digerakkan melalui kerjasama sayap mahasiswi PKPIM, HEWI dengan sayap wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), HELWA.

“Tidak terkecuali, program Mahabbah Food Coupon yang dilaksanakan di UIAM Gombak serta pelbagai lagi projek sedemikian bentuk.

“Kesempitan hidup dan kekangan ekonomi yang membelenggu negara ketika ini tidak harus dijadikan alasan kerajaan untuk peka dalam isu ini,” katanya lagi.