Malaysia Dateline

Mahasiswa tuntut subsidi ‘swab test’ sebelum kembali ke kampus

Mahasiswa menuntut kerajaan menyediakan subsidi atau potongan harga ujian swab untuk mereka sebelum kembali ke kampus pada Mac ini.

Mahasiswa Roket mencadangkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Kewangan berganding bahu bersama wakil dari NGO untuk membincangkan subsidi atau potongan harga ujian swab untuk mahasiswa dan mahasiswi.

Katanya, subsidi tersebut boleh diberi melalui sekolah atau kampus supaya mahasiswa dapat melakukan ujian swab sebelum pulang ke kampus.

“Kerajaan Muhyiddin Yassin yang kononnya “prihatin” perlu mempertimbangkan harga yang berpatutan untuk mahasiswa.

“Tuntasnya, dalam mempertimbangkan beban dan ketidakstabilan kewangan, para pelajar wajar mendapatkan ujian swab dalam kadar yang rendah,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahasiswa Roket mendesak supaya satu skim subsidi secara menyeluruh dan pelan ujian swab harga pelajar dan patut diketengahkan untuk perbincangan bersama.

Mahasiswa bimbang apa yang berlaku kepada pelajar SPM, STPM dan SVM turut berlaku kepada mahasiswa jika tidak dilakukan ujian saringan terlebih dahulu.

“Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan bahawa pelajar yang bakal menduduki peperiksaan seperti SPM, STPM, SVM dan setara dengannya dibenarkan untuk pergi ke sekolah dan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka walaupun beberapa buah negeri telah dilaksanakan PKP dan kes harian pula melonjak tinggi,” katanya.

Katanya, kegagalan kerajaan dan kementerian berlaku lagi apabila tular berita mengenai 18 pelajar yang kembali ke kampus disahkan positif COVID-19.

“Ini adalah petanda yang membimbangkan bagi kita semua terutamanya para pelajar.

“Adakah kerajaan bersedia menanggung kemunculan kluster baharu di kampus?

“Atau kerajaan berpendapat bahawa kesihatan dan keselamatan pelajar berbaloi untuk dirisikokan?

“Di sini terlahirnya keperluan bagi memastikan keselamatan, bukan sahaja pelajar malah ahli-ahli yang terlibat di sekolah dan juga kampus.

Katanya, pergerakan besar dan tidak terkawal mahasiswa ini boleh menyebabkan beberapa kluster merebak di kampus jika tiada proses saringan dilakukan.

“Proses saringan atau lebih dikenali sebagai ujian swab adalah satu satunya cara untuk mengenal pasti seseorang itu dijangkiti ataupun sebaliknya.

“Purata bagi kos ujian swab adalah dari RM30 sehingga RM300 atau lebih, bergantung pada fasiliti kesihatan.

“Kos ini mungkin dianggap sebagai murah atau rendah bagi sesetengah orang tetapi ianya mungkin suatu beban kepada mahasiswa yang berasal dari golongan keluarga B40 untuk menjalankan satu ujian swab.

“Ini adalah suatu isu yang memerlukan penyelesaian holistik dengan kadar segera,” katanya.