Malaysia Dateline

Mahathir akui Muhyiddin khianatinya

Menjelang detik-detik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan isi hatinya tentang Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Berbanding bekas pemimpin PKR  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Mahathir menyifatkan Muhyiddin lebih mengkhianatinya.

“Dia (Azmin) mempunyai agenda sendiri. Saya rasa dikhianati oleh Muhyiddin. Kami sudah berkerja untuk jangka masa yang lama dan dia sudah berjaya,” luahnya pada pada sidang media, di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur, pagi ini.

Perdana Menteri Interim itu berkata demikian selepas ditanya sama ada beliau berasa marah atau tidak dengan tindakan Azmin yang memulakan gerakan bersama 10 ahli parlimen lain meninggalkan PKR minggu lalu.

Seterusnya, membawa kepada pengumuman Muhyiddin bahawa Bersatu tidak lagi bersama gabungan Pakatan Harapan (PH) sehingga menumbangkan kerajaan yang diasaskan susulan keputusan PRU-14 lalu.

Sehubungan itu, Mahathir berkata, PH akan mengusulkan undi tidak percaya kepada Muhyiddin pada sidang Dewan Rakyat nanti memandangkan PH mempunyai majoriti berbanding Perikatan Nasional.

“Bagaimanapun saya takut sidang Parlimen Dewan Rakyat akan lambat bagi membeli masa,” ujarnya selain turut memberi bayangan jumlah sokongan 114 mungkin akan berubah sekiranya Dewan Rakyat mengambil masa untuk bersidang.