Malaysia Dateline

Mahathir akui sunyi generasi pejuang Melayu berakhir

Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan perasaan sunyinya selepas tokoh politik Kedah yang juga veteran Umno, Tan Sri Khalid Abdullah meninggal dunia, semalam.

“Saya kesunyian,” kata bekas Perdana Menteri dua kali itu menerusi catatan terbaharu dalam blog rasmi beliau http://chedet.cc/ yang turut disiarkan dalam Facebook miliknya.

Mahathir berkata, pemergian Khalid maka tamatlah satu generasi pejuang Melayu.

“Khalid, Azahari Taib, Khir Johari, Khir Pa’ Awang, Hj Taha, Chegu Senu dan lain-lain sudah tidak ada.

“Tinggal saya seorang. Saya sedih. Semua mereka kawan lama. Saya kesunyian,” kata pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.

Khalid, 98, yang juga dikenali dengan nama Khalid Julong meninggal dunia jam 5.50 pagi semalam, selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Kedah Medical Centre (KMC) sejak Ahad lalu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Merah (1975-1980) itu pernah memegang jawatan antaranya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Mahathir memberitahu, beliau berkenalan dan berdamping dengan Khalid dalam arena politik sebaik sahaja perang Dunia Kedua tamat.

“Kami berada dalam Saberkas (Syarikat Kerjasama Am Saiburi bermaksud bermaksud Persatuan Kerjasama Rakyat Kedah), sekumpulan anak Melayu yang memiliki kesedaran akan bangsanya.

“British merancang untuk rampas negeri-negeri Melayu untuk dijadikan tanah jajahan mereka. Malayan Union akan tamatkan kewujudan orang Melayu dengan Tanah Melayu mereka.

“Saya berdoa roh arwah Khalid Julong akan dirahmati Allah SWT,” tambah Mahathir lagi.