Malaysia Dateline

Mahathir anggap darurat gambarkan Agong diktator zalim walau undang-undang dibuat kerajaan Muhyiddin

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari lalu sebagai mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri berkenaan menegaskan hal itulah tujuan sebenar Muhyiddin berusaha supaya darurat diisytihar.

Menurutnya, hak untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong dikekalkan dengan pengekalan kuasa Perdana Menteri.

“Ini bermakna apa sahaja yang dilakukan di bawah nama Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Perdana Menteri.

“Ini termasuk rampasan kuasa, nilai ganti rugi tidak boleh dipertikai, denda 5 juta, penjara 10 tahun, dan tidak boleh mempertikai segala tindakan melalui mahkamah.

“Ini menjadi kerajaan ini kerajaan kuku besi. Dengan menggunakan nama Agong ia menggambarkan Agong sebagai diktator yang zalim.

“Sebaliknya, undang-undang ini diperbuat oleh kerajaan Muhyiddin,” katanya dalam kenyataan panjang tiga halaman malam tadi.

Ahli Parlimen Langkawi tersebut menegaskan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak boleh dicabar dan disoal dengan kuasa darurat Parlimen digantung.

“Warta kerajaan menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong supaya Muhyiddin dilindungi.

“Segala-galanya didakwa sebagai kehendak Yang di-Pertuan Agong. Ini termasuklah mengekalkan kuasa Perdana Menteri dan Kabinetnya,” ujarnya.

Tidak sah

Sehubungan itu, beliau berpendapat apa sahaja tindakan yang diambil kerajaan pada masa ini adalah tidak boleh digunapakai memandangkan perintah darurat yang dikuatkuasakan kerajaan adalah tidak sah.

“Perisytiharan darurat itu sendiri tidak mengikut undang-undang. Perlembagaan berkehendak Warta Kerajaan pengisytiharan darurat dikemuka kepada Parlimen. Tetapi syarat ini tidak dihirau.

“Oleh itu, darurat ini tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan. Ini bermakna semua tindakan kerajaan tidak sah. Inilah keadaan dalam negara sekarang.

“Kerajaan melakukan bermacam-macam kesalahan tetapi mahkamah tidak dibenar menilai sama ada tindakan dan perlakuan oleh kerajaan halal atau haram dari segi undang-undang.

“Amat malang kerana segala saluran untuk rakyat menyata yang benar, iaitu Kerajaan ini tidak sah dari segi Perlembagaan Negara terkunci tutup kerana pemerintahan mengikut undang-undang, The Rule of Law, sudah tidak ada,” tegas Mahathir lagi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Seri Paduka Baginda juga memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan itu diberikan selepas Muhyiddin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.