Malaysia Dateline

Mahathir anggap HSR bukan projek penting

Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura bukan projek penting kerana kos dikeluarkan melebihi penjimatan masa.

Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu, projek tersebut boleh ditangguhkan antara 10 hingga 20 tahun lagi.

“Kita boleh tunggu 10, 20 tahun lagi kerana sistem ini kena pergi jauh (jaraknya) baru kita dapat menjimatkan masa.

“Ini cuma 230 kilometer saja. Paling banyak boleh dijimatkan adalah kira-kira 15 minit.

“Untuk tempoh 15 minit anda perlu membayar lebih banyak lagi. Yang paling teruk, kos untuk membina HSR adalah kira-kira RM80 bilion, kita tidak dapat balik duit itu,” kata bekas Perdana Menteri itu di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembatalan projek tersebut.

HSR mula dicadangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada September 2010.

Namun, pembinaan projek HSR telah dua kali ditangguhkan sejak perjanjian dua hala Malaysia dan Singapura dimeterai pada Disember 2016.

Malaysia membayar kos penangguhan sebanyak RM45 juta kepada republik berkenaan ekoran penangguhan kali pertama sehingga Mei tahun lalu.

Akhirnya, Malaysia-Singapura membatalkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, selepas gagal mencapai kata putus susulan tempoh penangguhan yang berakhir pada 31 Disember lalu.