Mahathir anggap Mahiaddin berbohong kepada Parlimen

Oleh ARIF ATAN

Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa kenyataan Istana Negara yang menzahirkan rasa dukacita Yang di-Pertuan Agong, menunjukkan Tan Sri Mahiaddin secara sengaja berbohong kepada Parlimen mengenai pembatalan Ordinan Darurat.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, Perdana Menteri sewajarnya tahu beliau tidak memiliki kuasa untuk membatalkan ordinan itu, memandangkan Perlembagaan jelas meletakkan kuasa itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Walaupun pembatalan itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 26 Julai lalu, Muhyiddin tidak boleh membebaskan diri daripada tanggungjawab itu.

“Mahiaddin tidak cuba membetul atau menghentikan Takiyuddin ketika mengumumkan pembatalan itu, walaupun duduk di hadapan beliau, selain tidak memberi sebarang penjelasan pada hari berikutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Langkawi berkenaan berkata, Mahiaddin serta semua anggota Kabinet bertanggungjawab terhadap tindakan memalukan itu.

“Sehubungan itu, menjadi kewajiban untuk Mahiaddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, disusuli oleh anggota Kabinet yang lain,” kata bekas Perdana Menteri itu.