Mahathir anggap Najib sudah beli pendakwa raya, ketua polis

Mahathir anggap Najib sudah beli pendakwa raya, ketua polis

Berpidato serentak pada hari pelancaran Manifesto BN semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap Datuk Seri Najib Razak tidak mematuhi undang-undang negara.

Menurutnya, prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi asas penubuhan negara dilanggar oleh Pengerusi BN yang menjadi perdana menteri sejak 2009 itu.

“Najib buat undang-undang dia sendiri. Apa saja dia nak buat, dia boleh buat. Pasal dia sudah beli pendakwa raya dan dia telah beli ketua polis pun dan beli semua laporan akhbar.

“Jadi, tidak pernah ada laporan yang betul berkenaan Najib. Dia sebaliknya boleh buat apa sahaja. Kalau ada undang-undang menghalang pun, tidak akan hentikan Najib,” tegasnya dalam Ceramah Jelajah PH di Parit Jawa, Muar semalam.

Untuk rekod, kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali selaku Pendakwa Raya bagi isu dana RM2.6 bilion dan SRC International pada 26 Januari 2016 memaklumkan tiada keterangan yang menunjukkan bahawa dana tersebut adalah suatu bentuk suapan yang diberikan secara rasuah.

Sebaliknya, Apandi berkata, dana yang dimasukkan ke dalam akaun Najib di antara tarikh 22 Mac 2013 dan 10 April 2013 merupakan sumbangan peribadi tanpa apa-apa balasan daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Sehubungan itu, Mahathir berkata, tindakan undang-undang pula akan dikenakan kepada pihak yang mengemukakan laporan berkaitan kepincangan pentadbiran Najib.

Rakyat berbilang kaum hadir di Ceramah Jelajah PH Johor di Muar semalam.

“Kalau kita buat laporan berkenaan kesalahan Najib, kita akan kena tangkap masuk penjara dituduh jadi pengganas.

“Inilah undang-undang Najib. Nak pilih lagikah? Penyangak.

“Malu kita. Pergi ke luar negara, orang tanya apa jadi pada negara kamu? Senyaplah kita,” tempelaknya di hadapan ribuan masyarakat setempat yang hadir.

Calon perdana menteri berkenaan berpendapat, Najib pada masa ini dilihat tidak peduli sama sekali akan undang-undang meskipun peruntukan yang dilaksana perlu selari dengan semangat Perlembagaan negara ini.

“Tidak ada lagi demokrasi berparlimen. Parlimen sudah jadi satu pentas sandiwara. Tidak dibenar bahas berkenaan 1MDB (1Malaysia Development Berhad). Ini menutup kebebasann bersuara.

“Tidak boleh bahas berkenaan RM2.6 bilion yang ada dalam akaun peribadinya (Najib).

“Saya tidak pernah dengar Parlimen tidak boleh bahas apa-apa perkara yang mempunyai kesan kepada negara dan rakyat,” ujar Pengerusi Bersatu itu.

Selanjutnya, Mahathir turut menyelar kelulusan terhadap usul persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi Semenanjung Malaysia pada pagi 28 Mac diikuti Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 pada lewat petang 2 April lalu.

“Undang-undang yang mempunyai kesan besar kepada negara kita terutama dalam pilihan raya tetapi undang-undang itu tidak dibahas. Dalam tempoh dua jam sahaja undang-undang membina sempadan kawasan pilihan raya diluluskan.

“Demikian juga dengan undang-undang berita tidak benar. Kalau ada undang-undang ini, Najiblah yang pertama dikenakan tindakan.

“Sebab bila ditanyakan pada dia (Najib), mana dapat RM2.6 bilion. (Jawabnya) Tok Arab bagi. Ini mustahil. Bill Gates (Pengasas Microsoft) pun tidak pernah bagi banyak itu,” sindirnya.

Mahathir berpendapat sumbangan dana sebanyak itu jika benar daripada daripada penderma yang berasal dari Asia Barat sepatutnya mempunyai dokumen bertulis sebagai bukti.

“Kalau betul bagi, tentulah ada surat-menyurat. Wang sebanyak itu tidak boleh berpindah dari tangan ke tangan melainkan dicatat dalam bermacam-macam rekod, mesti ada daripada satu orang kepada ‘orang lanun’ ini.

“Tapi Najib tidak tunjuk pun satu bukti duit itu bergerak dicatat. Tiada kertas apa pun. Yang ada pendakwa raya sudah periksa laporan-laporan daripada SPRM, Bank Negara, PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara).

“Kata pendakwa raya tiada laporan berkenaan salah laku Datuk Seri Najib,” ujar Mahathir lagi.

Pada 6 Ogos 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataannya berkata, sumbangan dana RM2.6 bilion yang didermakan kepada Najib diterima daripada penderma yang berasal dari Asia Barat.

SPRM juga memaklumkan wang yang dimasukkan ke akaun Najib itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB.

7.2
OVERALL SCORE
: 10.0
4 user votes x 6.5
CATEGORIES
TAGS