Malaysia Dateline

Mahathir anggap parti anak muda akan gagal, Syed Saddiq ucap terima kasih

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengucapkan terima kasih atas pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan penubuhan parti baharu, khusus untuk golongan muda.

Menurutnya, kritikan pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu diterima dengan hati yang terbuka.

Bahkan, kata Ahli Parlimen Muar itu, parti baharu tersebut dikendalikan oleh anak muda yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Terima kasih Tun (Dr Mahathir). Kami terima kritikan dengan hati yang terbuka. Ini adalah parti yang dipimpin orang muda untuk semua rakyat Malaysia.

“Majoriti yang akan memimpin adalah golongan teknokrat, profesional, usahawan, petani moden, pemimpin masyarakat awam dan lain-lain,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, biarpun keahlian partinya kelak terdiri dalam kalangan orang muda, mereka tetap sayangkan Malaysia.

“Kami mungkin muda, tetapi kami cintakan Malaysia,” kata bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi.

Dalam sidang media pagi tadi, Mahathir berpendapat hasrat Syed Saddiq untuk menubuhkan parti khusus golongan muda akan gagal.

Katanya, jumlah besar golongan muda dalam senarai pemilih tidak mencukupi untuk memenangi pilihan raya dalam sesebuah kawasan.

Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu tidak menolak untuk sedia bekerjasama dengan parti pimpinan Syed Saddiq itu sekiranya berkongsi perjuangan yang sama, iaitu menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Syed Saddiq tidak menyertai Pejuang yang baru ditubuhkan oleh Mahathir sebaliknya berhasrat untuk menubuhkan parti anak muda terdiri daripada pelbagai kaum bagi memastikan suara dan kebimbangan golongan itu didengari.

Beliau yakin terdapat ramai pemimpin muda yang disingkirkan daripada Bersatu boleh menubuhkan parti baharu seperti bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Ustaz Abu Hafiz Salleh Hudin dan Ulya Aqamah Husamudin.

Syed Saddiq pada 21 Ogos lalu dilapor percaya ramai pemimpin muda yang perlu diberikan peluang untuk menerajui parti walaupun dalam masa sama menganggap Pejuang masih lagi keluarga.