Malaysia Dateline

Mahathir bantah Muhyiddin pecat Marzuki sebagai Setiausaha Agung

Tun Dr Mahathir Mohamad membantah tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memecat Setiausaha Agung parti itu Datuk Wira Marzuki Yahya.

Dalam satu suratnya kepada Muhyiddin, Pengerusi Bersatu itu berkata, pemecatan itu tidak sah dan wajar diketepikan.

Beliau juga membantah tindakan Muhyiddin melantik Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang baru.

“Saya selaku Pengerusi dengan ini memaklumkan bahawa, melalui pemakaian fasal-fasal Perlembagaan Parti sebagaimana dinyatakan, saya tidak bersetuju dengan cadangan YAB Tan Sri untuk melantik YB Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Setiausaha Agung parti yang baharu,” kata surat itu yang dilihat oleh Malaysia Dateline.

Muhyiddin memecat Marzuki dari menjadi Setiausaha Agung Bersatu berkuatkuasa serta merta melalui satu surat bertarikh 18 Mac 2020.

Pemecatan ini dibuat ketika negara sedang berhadapan dengan ancaman Covid-19.

Ia dipercayai ekoran pertembungan antara kumpulan yang menyokong Muhyiddin sebagai presiden dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu.