Malaysia Dateline

Mahathir banyak berjasa kepada negara perlu dihormati, kata Abdul Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Tun Dr Mahathir yang banyak berjasa kepada negara ini, perlu dihormati.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu berjaya mengawal kemelut politik sehingga selesai dengan aman dalam usianya tanpa sebarang huru-hara seperti negara lain.

“Ia sekaligus menjadikan Tun Dr Mahathir sebagai contoh negarawan dunia terkini yang akan disimpan dan sentiasa dikenang dalam lipatan sejarah.

“Dr Mahathir yang sangat berjasa kepada negara perlu dihormati supaya jangan dikorbankan menjadi kambing hitam oleh pemimpin yang gila jawatan sehingga nafsunya mengatasi akal dan sanggup menjadikan matlamat menghalalkan segala cara, tanpa nilai maruah diri, agama, bangsa dan negara.

“Sehingga mengheret ahli politik melakukan perkara yang kotor, menjatuhkan maruah, mendedahkan keaiban dan dosa yang lebih baik disembunyikan dan bertaubat kepada Allah Taala serta bermaafan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk akan melaksanakan kewajipan menjaga perpaduan masyarakat majmuk berkonsepkan adil kepada semua kaum.

“Kami mengambil langkah menyatukan umat Melayu Islam daripada bawah dengan mengadakan Muafakat Nasional (Pas dan Umno-BN).

“Tun Mahathir dan kalangan ilmuwan mengadakan Kongres Maruah Melayu. Kami mengumpulkan yang berpecah sehingga menghasilkan gabungan Perikatan Nasional, mengambil alih bersama kerajaan yang terpaksa diselamatkan.

“Dalam masa yang sama, melaksanakan kewajipan menjaga perpaduan masyarakat majmuk berkonsepkan adil kepada semua kaum, dan mengawal mereka yang kuat, kaya, rakus dan ekstrem daripada semua pihak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Presiden Pas turut menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih kepada Baginda dalam menangani krisis politik yang berlaku baru-baru ini.

“Langkah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja yang tidak berpolitik dapat menangani krisis politik yang sukar ini dengan hidayah Allah Taala diucapkan syukur dan junjung kasih.

“Kepada Tan Sri Muhyiddin yang dipilih menjadi Perdana Menteri tanpa melobi dan berkempen untuk dirinya sendiri, didoakan mendapat kelebihan,” katanya.

Menurut Abdul Hadi lagi, masyarakat Melayu dan Islam diseru supaya berpegang kepada konsep wasatiyyah yang sebenar, menjaga hubungan kemanusiaan dan kekeluargaan dengan istiqamah.

“Begitu juga kalangan bukan Islam menolak yang ekstrem dengan mengambil penekanan kepada aspek titik persamaan kemanusiaan bermasyarakat majmuk dengan bertasamuh (bertoleransi) dalam perbezaan agama, kaum dan taraf pendidikan.

“Serta penekanan kepada persamaan kehidupan dari aspek moral yang boleh bertaawun (bertolong menolong) dalam perkara kebajikan dan menolak kejahatan,” seru beliau.