Malaysia Dateline

Mahathir berada dalam keadaan sihat

Tun Dr Mahathir Mohamad berada dalam keadaan sihat dan tidak membimbangkan selepas mengalami sedikit pendarahan hidung.

Menurut satu mesej yang dikongsi bersama pengamal media oleh Pejabat Perdana Menteri, berita yang menyatakan perdana menteri bergegas untuk mendapatkan rawatan adalah tidak benar.

“Beliau bertugas seperti biasa,” menurut mesej itu lagi.

Sebuah organisasi media melaporkan Dr Mahathir menamatkan lebih awal sidang medianya pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2019 (PIPOC) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, hari ini, didakwa disebabkan mengalami pendarahan hidung.

Sementara itu, seorang pembantu khas perdana menteri berkata Dr Mahathir, malah, turut melihat kereta menggunakan kuasa biodiesel selepas bercakap kepada media.

“Beliau okay sebab selepas pc (sidang media), Tun pergi tengok kereta biodiesel,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.

“So tak betullah (media) cakap (beliau) bergegas untuk mendapatkan rawatan perubatan,” kata pembantu khas itu.– BERNAMA