Malaysia Dateline

Mahathir bertanggungjawab jatuhnya kerajaan PH, kata Kit Siang

Veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan adalah amat malang sekali apabila Tun Dr Mahathir Mohamad masih enggan untuk bertanggungjawab di atas kesilapan besar beliau sehingga jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Sedangkan, katanya, ketika itu Dr Mahathir masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan, Warisan dan juga Bersatu.

Ahli parlimen Iskandar Puteri itu berkata demikian ketika melahirkkan rasa terkejut beliau apabila namanya dipetik dalam perenggan terakhir kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, di mana beliau mengatakan:

“Saya fikir kita perlu perkara yang sama. Tetapi saya gagal kerana Kit Siang dakwa saya mahu jadi Diktator. Dia sokong Anwar sebagai calon PH. Jika 92 undi itu bersama saya, saya akan peroleh 154 undi. Bayangkan bagaimana halatuju Negara jika kesemua parti meletakkan Negara ini sebagai matlamat utama.”

“Perkara ini hanyalah sangkaan Mahathir sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, kata Kit Siang, keputusan Pakatan Harapan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri — selepas peletakan jawatan secara mengejut oleh Mahathir — dibuat secara sebulat suara oleh semua parti komponen PH — DAP, PKR, dan AMANAH.

“PH mencapai keputusan ini selepas Mahathir enggan untuk terus menjadi Perdana Menteri PH dan enggan untuk mematuhi dan terikat dengan Manifesto Pilihan Raya Umum PH,” katanya.

Bagi beliau, seorang Perdana Menteri dan sebuah kerajaan adalah diperlukan untuk mempertahankan dan menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2018 lalu.