Malaysia Dateline

Mahathir cadang Majlis Pemulihan Negara

Selepas mencadangkan Mageran Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad pula menegaskan Majlis Permulihan Negara yang dicadangkan beliau tidak akan mengganti kerajaan yang sedia ada.

Katanya, majlis ini ditugaskan untuk mengurangkan kes baru positif COVID-19 sehingga tercapainya imuniti kelompok sebelum PRU-15 selain masalah kemerosotan ekonomi dan kewangan akan dipulih.

Jelas beliau, Majlis Pemulihan Negara ini tidak diletak dibawah Kerajaan tetapi akan lapor secara langsung kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong.

“Majlis ini diperlukan untuk memastikan keputusan-keputusan pelan tindakan untuk membantu rakyat dapat dibuat dengan segera dan dilaksanakan tanpa melalui terlalu banyak proses birokrasi,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan ahli-ahli Majlis akan terdiri daripada pakar-pakar perubatan termasuk ahli psikiatri, pakar-pakar ekonomi yang tidak partisan dan berpengalaman di dalam membantu Negara mengatasi krisis, pakar pelaburan yang berpengalaman, penggerak sosial yang telah bukti keupayaan membantu rakyat ketika pandemik, tokoh-tokoh perundangan yang tidak partisan dan beberapa tokoh politik yang tidak bertindak mewakili parti. Keahlian tidak akan lebih dari 20 anggota. Tidak ada politik dalam Majlis Pemulihan Negara.

“Nama-nama mereka akan disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenannya.

“Ahli-ahli Majlis akan berkhidmat secara sukarela, tanpa gaji kecuali diberi elaun yang perlu. Mereka perlu menganggap perlantikan mereka sebagai satu khidmat Negara atau national service.

“Jika Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja menerima cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara ini, nama-nama mereka akan dipersembahkan untuk perkenan,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, selain penularan wabak ini tindakan melaksanakan PKP menyebabkan ekonomi merosot dan kewangan kerajaan terhakis teruk.

Dalam masa yang sama, katanya politik menjadi kucar-kacir kerana kelemahan kerajaan disusuli dengan banyak masalah sosial termasuk membunuh diri.

Dari segi politik katanya, parlimen akan bersidang dan tindakan Majlis akan dibentang kepada Parlimen namun percubaan untuk hapuskan Majlis Pemulihan Negara tidak akan diusahakan oleh Parlimen.

“Yang menjadi masalah politik ialah percubaan merampas kuasa. Malangnya jika Kerajaan ditukar, Kerajaan baru juga akan menjadi lemah kerana majoriti yang tipis. Tindakan politik hanya akan meneruskan masalah,” katanya.

Dengan terbentuknya majlis ini beliau berkata masalah persekolahan juga akan dikaji dan ditangani oleh Majlis dengan baik.