Malaysia Dateline

Mahathir cadang penubuhan Mageran 2.0

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan perlunya penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) bagi menangani empat masalah utama ketika wabak Covid-19 pada masa ini.

Beliau memberitahu cadangan penubuhan Mageran 2.0 itu disuarakannya semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, petang tadi.

Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, penubuhan Mageran dilihat akan menyelesaikan masalah berkaitan pandemik, politik, ekonomi dan sosial.

“Kita tahu cara-cara untuk selesaikan masalah Covid-19, ekonomi, politik dan sosial. Kita ada idea tetapi kalau kita di luar kerajaan maka sukar dilaksana.

“Mungkin cadangan-cadangan ini boleh kerajaan ambil tetapi antara cadangan dengan amalan ada perbezaan yang banyak.

“Kita boleh buat cadangan tetapi kalau tidak tahu untuk melaksanakan, ia tidak akan jadi.

“Sebab itu, saya cadangkan penubuhan Mageran untuk menyelesaikan masalah-masalah di negara ini,” jelasnya dalam sidang media secara maya sebentar tadi.

Untuk rekod, Mageran menjadi badan pentadbir negara ketika darurat berikutan peristiwa 13 Mei 1969 selepas sistem kerajaan berparlimen di Malaysia digantung.

Mageran yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein diberi kuasa penuh untuk mentadbir negara bermula 16 Mei 1969 sehingga dibubarkan kemudiannya pada 1971 dengan pemulihan Parlimen.

Semalam, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad dalam klip video 10 minit mendakwa ada pihak yang menyarankan agar Yang di-Pertuan Agong membentuk Mageran yang baharu.

Marzuki menegaskan langkah itu tidak perlu kerana situasi sekarang berbeza berbanding kali Mageran yang diwujudkan lebih setengah abad lalu apabila berlaku darurat keselamatan.

Mahathir hari ini berpendapat cadangan penubuhan Mageran kali kedua ini memandangkan penubuhan badan pentadbir negara sama, 52 tahun lalu terbukti berjaya mengatasi masalah politik dan ekonomi ketika itu.

“Tun Razak jemput parti-parti lawan ketika itu, Pas, Gerakan, SUPP menyertai dan bekerja dengan kerajaan. Dengan itu, selesai masalah politik yang terdapat pada masa itu.

“Tun Razak juga buat cadangan DEB (Dasar Ekonomi Baru). Dengan dua cadangan ini maka Tun Razak dapat stabilkan negara dan terus memerintah dengan majoriti yang kuat.

“Penubuhan Mageran ini berjaya selesaikan masalah. Kali ini pun kita boleh lakukan kerana Pejuang umpamanya telah berbincang secara mendalam masalah dihadapi negara pada masa ini,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Pilihan Raya Umum (PRU) 1974 merupakan PRU pertama selepas kepimpinan negara diambil alih oleh Tun Abdul Razak Hussein.

Barisan Nasional (BN) yang merupakan gabungan parti dalam Perikatan dan beberapa parti pembangkang termasuk Pas memenangi 135 kerusi Parlimen sekali gus membolehkan BN terus menguasai kerajaan pusat dan Tun Razak dilantik menjadi Perdana Menteri.

Kemasukan pakar

Mahathir bahkan mengulangi keyakinannya bahawa penubuhan Mageran kali ini mampu mengawal pandemik yang sekarang merekodkan jangkitan lebih 5,000 kes harian.

“Kita (Pejuang) berpendapat Mageran mungkin berjaya kerana akan masuk pakar-pakar dalam pelbagai bidang tidak semestinya orang politik.

“Kami sendiri dapat cukup maklumat dalam membincangkan tentang Mageran. Mageran boleh mengatasi soal jumlah kes baharu (Covid-19) dan mengurangkan kes kematian,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak pasti bagaimana pendirian parti lain.

“Itu (Penubuhan Mageran) pendapat kamilah, sama ada boleh atau tidak, tidak tahulah.

“Tapi kami biasalah kendalikan krisis-krisis yang serius dan mendapat kejayaan. Tapi saya tidak tahu parti lain, bagaimana pendapat mereka,” ujarnya lagi.