Malaysia Dateline

Mahathir dakwa Zahid pernah bertemunya di rumah, minta siasatan kes rasuah dihentikan

Ketika ini, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdepan serangan hebat apabila didakwa pernah bertemu dengan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sewaktu menjadi perdana menteri, bagi membinta bantuan berhubung kes mahkamah yang dihadapinya.

Terbaru, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula mendedahkan bahawa Zahid, pernah bertemu dengannya meminta supaya siasatan kes rasuah terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dihentikan.

Mahathir mendakwa, Zahid datang ke rumahnya dan pertemuan itu berlaku ketika timbul desas-desus bahawa beliau akan menjadi perdana menteri.

“Ahmad Zahid datang ke rumah saya bersama dua tiga orang lagi dan dia cuba nak berbaik-baik dengan saya.

“Pada masa itu, ada kemungkinan saya menjadi perdana menteri. Atas sebab itu dia ingin berbaik dengan saya,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Aspirasi Johor, di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau mengetahui mengenai masalah jenayah yang dilakukan Ahmad Zahid, selain menyedari kemungkinan pemimpin Umno berdepan hukuman penjara.

Katanya, selepas Ahmad Zahid bersama menyertai parti yang membentuk kerajaan, beliau ada mendengar cubaan Zahid menghapuskan tindakan mahkamah terhadapnya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak mendedahkan bila sebenarnya tarikh dan lokasi pertemuan berkenaan.

Pada semalam, Mahiaddin berkata beliau tidak akan membuat sumpah laknat berhubung dakwaannya terhadap Zahid.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, apa yang dikatakannya sebelum ini adalah benar dan beliau sendiri mempunyai bukti dan saksi.

Minggu lalu, Muhyiddin ketika berucap di Pentas PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh di Felda Tenggaroh 3, berkata Ahmad Zahid ada ke rumahnya dengan membawa satu beg berisi dokumen kes mahkamah.

Beliau dilaporkan berkata, dalam kejadian beberapa hari selepas beliau memegang jawatan perdana menteri, Ahmad Zahid ada meminta tolong daripadanya kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.