Malaysia Dateline

Mahathir dan Perikatan Nasional: PH perlu bincang pendirian

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa Pakatan Harapan (PH) mengadakan mesyuarat segera bagi membincangkan pendirian ekoran beberapa kenyataan terkini Tun Dr Mahathir Mohamad tentang Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Setiausaha Pengelola PKR itu berkata, Biro Politik parti yang bermesyuarat pada 11 Mac lalu mengambil keputusan agar kepimpinan PH yang terdiri daripada PKR, AMANAH dan DAP perlu bermesyuarat dan berbincang bagi menyatakan pendirian PH.

“Sebarang pandangan lain tidak mewakili pandangan PKR dan Pakatan Harapan.

“Tumpuan harus diberikan terhadap agenda reformasi dan mempertahan mandat rakyat pada PRU14,” tegasnya.

Sehubungan itu, Nazmi berkata, PH harus kembali kepada semangat yang dibawa Buku Harapan bagi mengangkat nasib rakyat.

Tambahnya lagi, rakyat pada masa ini ditekan keadaan ekonomi yang ditimpa musibah berganda kejatuhan Kerajaan PH, wabak Covid-19 dan penurunan harga minyak mentah.

Kelmarin, dalam temubual eksklusif Sinar Harian bersama Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri itu percaya PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 kerana sudah mempunyai cukup sokongan di Dewan Rakyat.

Pengerusi Bersatu itu turut berharap Muhyiddin dapat meneruskan dasar-dasar baik yang telah diumumkan kerajaan PH sebelum ini seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.