Mahathir dianugerah Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Jepun

Mahathir dianugerah Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Jepun

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Antarabangsa Jepun (IUJ) bagi menghargai sumbangan beliau terhadap hubungan Malaysia dan Jepun.

Dr Mahathir menerima ‘Ijazah Kehormat Doktor Falsafah, honoris causa’ daripada Presiden IUJ Hiroyuki Itami dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di Bandaraya Fukuoka, bersempena lawatan kerja tiga hari beliau ke wilayah itu.

Pada majlis penganugerahan ijazah doktor kehormat itu, Itami menegaskan bahawa Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan Dr Mahathir, mempunyai impak besar kepada pendidikan tinggi di negara anggota Asean.

“Sememangnya diakui dan diiktiraf bahawa ramai anak muda Malaysia yang belajar di luar negara di Jepun telah menyumbang kepada pembangunan di Malaysia pada hari ini di bawah dasar ini (Dasar Pandang ke Timur),” menurut kenyataan IUJ yang dikeluarkan bersempena penganugerahan itu.

Dalam ucapan sanjungannya, Itami berkata Dasar Pandang ke Timur telah menjadi asas kepada hubungan akrab antara Malaysia dan Jepun.

Di bawah Dasar Pandang ke Timur, kerajaan Malaysia telah menghantar beratus-ratus pelajar dan pelatih korporat ke Jepun.

“Apabila kembali ke Malaysia selepas menamatkan pengajian dari universiti atau tamat program di syarikat di Jepun, pelajar Malaysia telah memainkan peranan yang aktif dan utama dalam membangunkan Malaysia serta sebagai jambatan antara Jepun dan Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, IUJ telah mendidik lebih 20 pelajar Malaysia yang dihantar oleh kerajaan Malaysia sejak 1990-an.

Itami berkata IUJ turut melancarkan Program Pembangunan Jepun-Global (JGDP) tahun lepas bagi menawarkan peluang pembelajaran kepada bakal pemimpin terkemuka dari Jepun, Asia termasuk Malaysia, Afrika dan Amerika Latin mengenai pengalaman orang Jepun dalam bidang ekonomi serta pembangunan masyarakat sejak era pemulihan Meiji dan kewajaran di sebalik perkembangan ini.

“IUJ mengalu-alukan penyertaan pelajar dari Malaysia dalam JGDP,” katanya.

Itami juga menyatakan harapan bahawa hubungan dua hala yang lebih erat antara Jepun dan Malaysia akan berkembang di bawah Dasar Pandang ke Timur dalam era baharu ini.

“Kami percaya Universiti Antarabangsa Jepun akan memainkan peranan penting dalam Dasar Pandang ke Timur Tun Dr Mahathir dan dalam mengukuhkan hubungan antara Jepun dan Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir dalam ucapan penerimaannya berkata beliau hanya menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin.

“Mana-mana juga pemimpin, jika diberi peluang dan kuasa, akan melakukan apa yang telah saya lakukan. Malaysia merupakan sebuah negara pertanian yang miskin, tetapi kerana keperluan mewujudkan pekerjaan, kami perlu membina infrastruktur untuk melancarkan (keperluan sedemikian).

“Saya berterima kasih kerana diberi pengiktirafan dalam melakukan sesuatu yang dianggap luar biasa (menjadikan negara pertanian kepada negara perindustrian), dan melaksanakan tugas sebagai seorang pemimpin,” katanya.– BERNAMA