Malaysia Dateline

Mahathir dijangka umum parti baharu petang ini

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan mengumumkan penubuhan parti baharu petang ini.

Menurut Sinar Harian yang memetik sumber, kem Mahathir akan mengumumkan penubuhan parti itu di sebuah hotel di Bangsar pada jam 4.30 petang nanti.

Parti baru itu juga akan dikenali sebagai Parti Bersatu Rakyat Malaysia.

Sebelum ini, teka-teki sama ada Mahathir akan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) atau menubuhkan parti baharu, dilaporkan hanya akan diumumkan selepas 7 Ogos.

Bagaimanapun, sebarang ketetapan hanya akan dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada membenarkan permohonan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membatalkan saman yang dikemukakan Dr Mahathir dan lima yang lain berhubung tindakan pemecatan keahlian mereka daripada parti.

Menerusi saman dikemukakan pada 9 Jun itu, Mahathir memohon pengisytiharan, antaranya mereka masih lagi ahli Bersatu yang sah, masih memegang jawatan parti dan layak bertanding pemilihan parti.

Pada 20 Julai, bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berkata sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada kem Bersatu Blackout itu, kemungkinan besar mereka akan adakan platform parti baharu.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan sidang media dijangka akan diadakan di Yayasan Al Bukhary atau sebuah hotel di Kuala Lumpur.

“Ia dijadualkan pada jam empat petang. Undangan media (ke acara itu) akan dikeluarkan tidak lama lagi,” kata sumber yang dekat dengan Mahathir.

“Tun mungkin akan bercakap di sebuah hotel di Bangsar, boleh tunggu di sana,” kata satu lagi sumber, memetik portal berkenaan.