Mahathir dikerumuni jamaah selepas solat Jumaat di Sungai Besar

Mahathir dikerumuni jamaah selepas solat Jumaat di Sungai Besar

 

Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat masih memiliki tarikan atau aura tersendiri apabila kehadirannya di Masjid Hashimiah, Kampung Sungai Limau, Sekinchan terus mendapat perhatian orang ramai.

Selesai menunaikan sembahyang Jumaat sebentar tadi, jemaah yang merupakan penduduk tempatan mengerumuni beliau untuk bersalaman dengannya.

Paling ketara reaksi sebahagian warga emas dengan ada antara mereka mencium tangan Mahathir ketika bersalaman.

Bekas Perdana Menteri paling lama di Malaysia yang berkempen bagi pihak Pakatan Harapan itu turut diiringi calon Amanah, Ustaz Azhar Ab Shukur.

Orang ramai juga tidak melepaskan peluang mengambil gambar bersama Mahathir yang berpakaian “bush jacket” warna kelabu itu.

Pada masa sama, ketika Mahathir berada dalam kawasan masjid dan masih bersalaman kedengaran seorang individu dipercayai penyokong Umno menjerit “Melayu mudah lupa.”

Walaupun wujud cubaan provokasi, keadaan umumnya terkawal dengan orang ramai terus memberikan penghormatan kepada bekas perdana menteri yang paling lama memerintah itu.

Terdahulu, sebelum solat Jumaat kira-kira 200 penduduk setempat majoritinya wanita mendengar ceramah Mahathir di Restoran Ayam Kampung Tali Air 8, Sekinchan.

COMMENTS

Wordpress (0)