Malaysia Dateline

‘Mahathir dulu beri subsidi, Najib sekarang perah poket rakyat’

Berbeza dengan pentadbiran kerajaan BN pada masa ini, Tun Dr Mahathir Mohamad sebaliknya melaksanakan polisi pemberian subsidi sekali gus mengurangkan bebanan kepada rakyat.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, Malaysia di bawah pemerintahan Datuk Seri Mohd Najib Razak telah menarik banyak subsidi kepada rakyat serta pada masa sama mengenakan cukai enam peratus GST.

“Dulu wang dibelanjakan untuk rakyat. Sebab zaman Tun Mahathir dulu, kerajaan memberikan subsidi bukan macam sekarang.

“Sedangkan dia (Najib) setiap tahun perah poket kita sebanyak RM42 bilion (kutipan GST). Duit GST yang diambil dari poket rakyat sebanyak RM42juta.

“Subsidi minyak yang kita tuntut tidak dapat dipenuhi. Apabila minyak mahal, harga barang pun jadi mahal dan hidup rakyat susah. Ikan kembung pun sekarang sudah mahal,” katanya ketika berceramah di Felda Jelai 4, Gemas, kelmarin.

Sehubungan itu, tegasnya, tiada sebab yang wajar untuk melihat Malaysia terus diterajui Najib jika tidak mahu hasil negara terus dirompak dan isteri Najib hidup bermewah-mewahan.

“Subsidi minyak masak, beras, gula dipotong. Kalau semua subsidi sudah dipotong, apa guna lagi kita lantik Najib tadbir negara.

“Takkan kita biarkan perompak menjaga rumah kita. Dulu Tun ambil duit rakyat, dia bagi subsidi, biasiswa pendidikan. Hari ini Najib ambil duit rakyat, dia bagi pada Rosmah. Itu yang Rosmah joli sakan.

“Rosmah ini dia belanja beli barang kemas, beg tangan, baju hampir RM24juta. Baru-baru ini didedahkan dia beli rantai berlian RM120juta. Rosmah tidak nafi. Dia juga tidak saman walaupun Pakatan Harapan sudah banyak sebut.

“Untuk Rosmah seorang, sanggup Najib curi duit rakyat untuk kemewahan isterinya,” tegas peguam berkenaan dalam program anjuran AMANAH Tampin itu.

Faiz berkata, gabungan AMANAH, PPBM, PKR dan DAP melalui muafakat Pakatan Harapan berusaha untuk memastikan kehidupan rakyat pada masa depan menjadi lebih baik.

“Saya sebagai anak bekas Presiden Pas dan ketua pembangkang di Parlimen tidak fikir Tun masih mahukan kuasa. Dia sudah 22 tahun berkuasa tapi bangkit disebabkan tidak tahan dengan Najib dan Rosmah.

“Dia (Mahathir) keluar tubuh parti bukan tubuh NGO dengan menyertai Pakatan Harapan nak lawan Umno-BN.

“Sebab itu, kita percaya keikhlasan Tun untuk menggerakkan kuasa rakyat untuk tumbangkan Umno pada PRU akan datang,” ujarnya lagi.