Malaysia Dateline

Mahathir enggan ulas dakwaan Najib dianiaya

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mengulas dakwaan Datuk Seri Najib Razak kononnya beliau telah dianiaya.

“Lebih baik bertanya kepada beliau (Najib). Saya tidak tahu…,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri hari ini dipetik Bernama.

Semalam, Najib ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur pada pukul 2.35 petang.

Dalam sebuah video berdurasi 2 minit 22 saat di laman Facebooknya, antaranya bekas perdana menteri itu menyatakan bahawa beliau ‘belum berpeluang untuk mempertahankan diri’ dan ‘terdedah kepada tohmahan yang dahsyat’.

Hari ini, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM 42 juta.