Malaysia Dateline

Mahathir gesa dasar maritim komprehensif

Berucap pada Persidangan Maritim Kebangsaan di Langkawi hari inii, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan menyedari keperluan mewujudkan rejim tadbir urus laut bagi Malaysia.

Beliau berkata perlu ada dasar yang menyeluruh merangkumi semua aspek maritim seperti keselamatan, ekonomi dan alam sekitar.

“Jika kita terus menguruskan laut secara segmen, seperti sekarang, pertindihan bidang kuasa dan konflik kepentingan antara sektor tidak akan dapat diselesaikan,” katanya dalam ucaptama pada majlis yang dianjurkan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) hari ini.

Perdana menteri menegaskan sudah tiba masanya semua agensi berkaitan maritim bekerjasama dan bergabung proses kerja yang bersesuaian, dan ini boleh dicapai melalui pemahaman , kepercayaan dan komunikasi terbuka.

“Pertindihan bidang kuasa harus ditandatangani dengan segera untuk mengatasi pembaziran sumber kerajaan. Pendekatan yang diselaraskan dan bersepadu seharusnya menjadi jawapan untuk memperkuat penguatkuasaan maritim,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir menyatakan Malaysia telah meluluskan tidak kurang daripada 15 Akta dan Perintah untuk menguruskan ruang maritimnya,  penguatkuasaan yang melibatkan lebih 10 kementerian dan 31 agensi yang berkaitan dengan maritim.

Perdana Menteri berkata pendekatan yang diselaraskan dengan baik diperlukan untuk mengatasi cabaran yang berkaitan dengan aktiviti penguatkuasaan yang hanya berkesan dengan kemampuan Intelligence, Surveillance dan Reconnaissance (ISR).

Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, beliau berkata, kerajaan berminat terhadap prinsip-prinsip Ekonomi Biru yang pertumbuhan ekonomi yang mampan harus selaras dengan mengekalkan kesihatan lautan.

Dr Mahathir menegaskan mengoptimumkan kekayaan negara melalui aktiviti ekonomi berasaskan maritim adalah saling berkaitan dengan keupayaannya untuk mengurangkan isu keselamatan maritim.

“Selain daripada ancaman biasa seperti pertikaian sempadan maritim, keselamatan maritim kami juga terdedah kepada ancaman bukan trandisional seperti penyeludupan haram melibatkan barangan dan manusia, penangkapan ikan secara haram, tidak dilapor dan tidak dikawal (IUU), lanun, keganasan, ancaman ekosistem marin seperti perubahan iklim dan pemanasan global, pencemaran daripada aktiviti perkapalan dan pencemaran darat,” katanya.

Aktiviti ini telah menghalang kegiatan ekonomi Malaysia dan memberi kesan kepada jumlah hasil negara, katanya, memberikan contoh pencerobohan kapal nelayan asing yang membawa kepada kerugian besar pendapatan negara selain kerosakan kekal kepada ekosistem marin negara.

“Dilaporkan tahun lepas kita kehilangan kira-kira RM6 bilion setahun akibat aktiviti perikanan haram atau perikanan IIU, di pantai timur Semenanjung Malaysia sahaja,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri berkata banyak lagi yang perlu dilakukan dan lebih banyak cabaran perlu dihadapi Malaysia untuk menjadi negara maritim sepenuhnya.

“Ia tidak boleh dilakukan semalaman tetapi kita juga telah banyak menempuhnya sebagai sebuah negara untuk mengenal pasti dan mencari penyelesaian bagi kebanyakan isu berkaitan maritim.

“Visi kita untuk menjadi negara maritim semakin menjadi realiti, dengan syarat kita sanggup berganding bahu dan bergerak maju bersama,” katanya. – BERNAMA