Mahathir hairan ramai hadir ceramah Pakatan Harapan

Mahathir hairan ramai hadir ceramah Pakatan Harapan

Sambutan hangat masyarakat setempat di Felda Besout 1, Tanjung Malim dalam Jelajah Pakatan Harapan (PH) semalam mengundang kehairanan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walau bagaimanapun, beliau menganggap kehadiran orang ramai itu sebagai tanda rakyat peduli dengan situasi luar biasa pelik yang berlaku di negara ini.

“Saya hairan kenapa begini ramai orang datang? Pilihan raya belum ada lagi.

“Tapi kita begitu berminat dengan keadaan negara kita sehingga kita sanggup berkumpul begini ramai di sini.

“Alhamdulillah, negara kita mempunyai rakyat yang prihatin. Mereka sedar bahawa keadaan di negara kita luar biasa pelik,” ujarnya.

Calon Perdana Menteri PH berkenaan berkata, urus tadbir Malaysia yang begitu buruk pada masa ini menyebabkan pembangkang berkempen berbulan-bulan sebelum pilihan raya.

“Kalau dulu kita tunggu pilihan raya diisytihar, baru kita berkempen. Kenapa? Kita prihatin dan sedar akan masalah negara kita. Kita nak betulkan keadaan negara ini.

“Sebab itulah saya yakin ramai yang hadir pada malam ini,” katanya disambut tepukan gemuruh orang ramai.

Tinjauan Malaysia Dateline mendapati lokasi dataran lapang tidak jauh dari pintu gerbang Felda Besout 1 dipenuhi keluarga peneroka tanah rancangan itu selain penduduk sekitar.

Sebahagian daripada warga Felda Besout 1, Tanjung Malim yang menghadiri ceramah PH semalam.

Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan usia dengan sebahagiannya terpaksa berdiri mengikuti siri ceramah oleh pemimpin tertinggi PH di peringkat nasional dan negeri itu.

Selanjutnya, Tun Mahathir menegaskan keadaan cukup pelik di negara ini apabila pemimpin yang dipilih untuk mentadbir negara mengikut undang-undang negara bertindak sebaliknya.

Pengerusi Bersatu itu turut mengulangi kembali reaksi Najib Razak kepadanya sebelum ini yang menganggap duit mampu membeli sokongan rakyat.

“Kuasa yang dapat pada perdana menteri diguna untuk mencuri duit. Ini pelik sekali. Saya jumpalah Datuk Seri Najib kerana banyak orang desak saya supaya nasihat Datuk Seri Najib.

“Saya cubalah nasihat Datuk Seri Najib tetapi dia katakan kepada saya tak payah berkhidmat untuk rakyat.

“Kalau kita ada duit kita boleh beli rakyat. Dalam pilihan raya kita bagi duit, rakyat akan sokong kita. Itulah pendapat Datuk Seri Najib,” ujarnya.

Sambutan hangat warga Felda terhadap ceramah PH menghairankan Tun Mahathir Mohamad.

Walaupun begitu, Tun Mahathir tahu perdana menteri tidaklah mempunyai banyak wang memandangkan gaji yang diperoleh adalah kecil.

“Saya pun tahu gaji perdana menteri tak besar. Dia nak bagi duit kepada berjuta-juta orang. Nak cari duit di mana?

“Saya pun hairan rupanya-rupanya dia nak curi duit. Sebab itulah dia tubuh syarikat 1MDB (1Malaysia Develpoment Berhad). Syarikat ini pinjam RM42 bilion,” jelasnya.

Beliau kemudiannya mengggunakan contoh muatan lori kecil yang dianggap boleh memuatkan wang berjumlah RM1 juta ringgit untuk memberi gambaran lebih jelas tentang wang yang kemudiannya diseleweng oleh Najib.

“Payah kita nak fikir nilai RM42 bilion. Saya nak cuba ukur banyak mana RM42 bilion.

“Kalau kita fikir satu juta ringgit boleh diisi dalam sebuah lori kecil, RM42 bilion bermakna 42,000 lori kecil.

“Bukan main banyak dia (Najib) pinjam. Takpalah. Saya ingat dia pinjam pasal nak melabur untuk dapatkan keuntungan bagi negara.

“Rupa-rupanya bukan nak melabur, nak mencuri. Inilah yang dilakukan Datuk Seri Najib,” selar Mahathir.

Sehubungan itu, bekas perdana menteri berkenaan mendakwa Najib akan terus mencuri lagi jika menang pada pilihan raya akan datang.

“Dia dah curi duit berbilion-bilion ringgit bagi pada anak bini dia, Jho Low, bagi kepada Rosmah Mansor duit yang dia curi.

“Sokong dia, dia menang dia curi lagilah. Inilah Datuk Seri Najib. Kita di sini hairan di negara lain kita macam-macam berkenaan Datuk Seri Najib.

“Tapi di Malaysia ini, surat khabar Utusan Malaysia, Straits Times, Berita Harian tiada lapor apa pun, seolah-olah tiada kecurian berlaku. Ini cukup pelik,” katanya.

Beliau turut menyifatkan negara luar tidak pernah mengaitkan skandal kehilangan dana awam dengan kepimpinan Perdana Menteri terdahulu termasuk semasa beliau di jawatan itu selama 22 tahun sejak 1981.

“Ramai daripada kita tak begitu terasa duit kita hilang kerana menganggap perdana menteri tentulah curi duit.  Dr Mahathir dulu pun tentu curi duit. Itu cerita orang.

“Dulu dunia tak pernah kata perdana menteri Malaysia curi duit waktu saya, Tun Hussein, Tun Razak, Tunku Abdul Rahman.

“Pernahkah kita dengar kapal layar bernilai satu bilion ringgit dirampas oleh Amerika Syarikat?

“Tidak ada. Baru kali ini kita dengar Indonesia rampas,” katanya lagi.

7.3
OVERALL SCORE
5 user votes x 8.8
CATEGORIES