Malaysia Dateline

Mahathir harap Sidang Kemuncak KL cetus pencapaian lebih gemilang bagi ummah

Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan harapan bahawa Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 akan membuka jalan ke arah pencapaian yang lebih besar bagi ummah.

“ Kami harap pada akhir sidang ini, kami akan dapat menggariskan beberapa inisiatif khusus sebagai pemangkin kepada pencapaian yang lebih besar,”  kata perdana menteri merangkap pengerusi sidang kemuncak itu, di sini, malam ini.

Dr Mahathir berkata demikian pada jamuan malam menyambut peserta sidang kemuncak itu di sebuah hotel terkemuka di sini, berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, iaitu venue persidangan empat hari itu yang berakhir Sabtu ini.

Dr Mahathir berkongsi dengan hadirin mengapa sidang kemuncak itu diadakan di ibu negara Malaysia.

“Kami telah berusaha mengadakan sidang kemuncak ini kerana kami merasakan bahawa kami perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki kehidupan ummah di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata: “Kami merasakan bahawa kita perlu mengatasi Islamofobia. Kita perlu mencari jalan untuk menangani kekurangan, kebergantungan kita terhadap bukan Islam untuk melindungi diri kita daripada musuh Islam.”

Dalam menyambut kehadiran peserta, Dr Mahathir mengambil peluang untuk mengetengahkan kewujudan bersama kepelbagaian budaya dan agama masyarkat Malaysia.

Beliau berkata walaupun majoriti rakyat Malaysia beragama Islam namun negara ini mempunyai sebilangan besar kumpulan minoriti daripada pelbagai agama, kebudayaan, adat-resam dan cara hidup yang berbeza.

Dr Mahathir menekankan kenyataan bahawa walaupun wujud pelbagai perbezaan, rakyat Malaysia dapat hidup secara aman antara satu sama lain.

“ Kami tidak akan mendakwa sebagai orang Islan yang sempurna atau model negara Islam yang baik. Tetapi kita dapat membuktikan bahawa kami telah dapat hidup dengan rakyat bukan Islam dalam suasana aman dan harmoni sejak berdekad lamanya,”  katanya.

Tradisi ini, katanya, telah wujud sejak kemerdekaan negara.

Dr Mahathir, bagaimanapun, berkata memang telah ada konflik kaum dan agama yang kecil.

“ Tetapi jumlah insiden seperti itu amat kecil dan jarang berlaku…tidak memberi kesan jika dibandingkan dengan tempoh keamanan, muhibah dan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat Malaysia.

“ Bagi kami, inilah yang dituntut Islam  — untuk hidup secara aman dengan rakyat bukan Islam dan bekerjasama membina sebuah negara yang sejahtera, aman dan harmoni,”  kata perdana menteri.

—   BERNAMA