Malaysia Dateline

Mahathir harus akui kesilapan, mohon maaf bukan cari silap orang

Setelah terbit buku bekas Peguam Negara, Tommy Thomas yang menyentuh beberapa isu berkenaan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM, sikap defensif beliau agak tidak kena.

Adalah benar, kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan adalah kerana “plan tidak menjadi” beliau sendiri.

Kerajaan PH tidak jatuh sehingga Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM, dan selepas itu Bersatu keluar PH, diikuti tindakan 10 MP Keadilan yang khianat.

Walaupun wujud langkah Sharaton yang berusaha menjatuhkan kerajaan PH, langkah itu akan gagal sekiranya kuasa Perdana Menteri masih di tangan Mahathir/PH.

Kenyataan Mahathir mengatakan beliau letak jawatan setelah PH jatuh adalah SALAH dari sudut kronologi. PH jatuh adalah setelah Mahathir letak jawatan.

Dan beliau letak jawatan, adalah satu move politik yang mana untuk beliau kembali menjadi PM, sekaligus menafikan peluang yang boleh diambil Wan Azizah ketika itu sebagai TPM.

Mahathir tidak ada hak mengatakan beliau “berhak” terhadap 92 undi MP Pakatan Harapan.

Sebab utama MP Pakatan Harapan menolak Mahathir dan mencadangkan Anwar Ibrahim adalah kerana tindakan Mahathir mahu menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan, yang mana kerajaan itu tidak lagi tertakluk pada manifesto PRU14 dan Mahathir mempunyai kuasa dalam menentukan segala perkara.

Ini adalah sikap diktator yang menyebabkan parti komponen Pakatan Harapan mencadangkan nama Anwar Ibrahim, bukan lagi Mahathir.

Idea kerajaan perpaduan ini juga ditolak oleh Umno, kerana itu beliau hanya mendapat sekitar 60 undi sahaja.

“Move on” dengan tindakan tersebut, parti komponen Pakatan Harapan sekali lagi mencalonkan Mahathir setelah Anwar gagal mendapat majoriti, bukan kerana menafikan tindakan Mahathir menjadi faktor, tetapi pada waktu itu ia dilihat SATU SATUNYA CARA untuk mengambil kembali kerajaan.

Tindakan Mahathir kini yang letak kesalahan hanya pada pihak lain KECUALI dirinya, amat dikesalkan.

Sekiranya mahu terus mendapat simpati dan sokongan, Mahathir seharusnya mengakui kesilapan dan meminta maaf bukan meletak kesalahan kepada pihak lain TERUTAMA pada Pakatan Harapan!

——————–
Penulis adalah pembaca Malaysia Dateline dan aktivis politik di Terengganu. Ini adalah pandangan beliau dan tidak semestinya pandangan Malaysia Dateline.