Malaysia Dateline

Mahathir ingatkan pengundi Johor jangan ambil mudah PRN kali ini

Tun Mahathir Mohamad mengingatkan kepada pengundi Johor agar tidak mengambil ringan akan tanggungjawab untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan nanti.

Ini kerana katanya, PRN Johor telah dirancang oleh kumpulan yang dikenali seagai kluster mahkamah dan kleptokrat dari Umno yang mempunyai tujuan memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri sebagai langkah awal sebelum PRU15.

Menurutnya, perancangan mereka apabila menang di pilihan raya umum nanti mereka akan dapat menggunakan kedudukan untuk menyelesaikan kes-kes salah guna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat.

“Ada pengundi kata bahawa kumpulan ini tidak bertanding di PRN Johor, memang benar tetapi mereka yang bertanding di atas tiket Umno dsn BN akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat,” katanya.

Mahathir berkata demikian dalam satu surat terbuka buat pengundi-pengundi di Johor kerana merekalah akan menentukan parti mana akan menerajui kerajaan negeri Johor nanti.