Mahathir janjikan perumahan awam lebih banyak di Putrajaya

Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersama calon PH Datuk Dr Samsu Adabi Mamat ketika dalam ceramah PH di Putrajaya malam tadi.

Tun Dr Mahathir Mohamad menjanjikan pembinaan perumahan awam lebih banyak sekiranya Pakatan Harapan menang di Putrajaya.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata ketika menjadi perdana menteri, beliau mempunyai cita-cita untuk membangunkan Putrajaya.

“Ada macam-macam yang kita boleh buat di Putrajaya. Saya nak wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Nak cantikkan lagi Putrajaya supaya ramai pelancong dan ramai orang Islam datang bersembahyang di Masjid Besi dan Masjid Putrajaya kerana apabila mereka datang beramai-ramai akan  mewujudkan peluang pekerjaan.

” Selain daripada penjawat awam yang tinggal di Putrajaya, ada juga peniaga kecil yang kita harap akan jadi semakin besar dalam perniagaan.

“Inilah harapan kita. Kita tidak buat Putrajaya untuk sedap-sedap (suka-suka) sahaja. Supaya bandar cantik ini dinikmati oleh pegawai yang dahulu tinggal jauh dari pejabat akan diwujudkan banyak perumahan di sini,” ujarnya.

Tambah beliau lagi Putrajaya masih mempunyai tanah yang luas untuk tujuan pembinana perumahan awam berbanding membina bangunan komersil, katanya.

“Masih tidak cukup (rumah). Jika Pakatan Harapan menang dan jadi kerajaan kita akan sediakan lebih banyak perumahan kakitangan kerajaan. Kita masih ada tanah yang luas boleh buat banyak tingkat.

“Ini buat bangunan 100 tingkat di tengah Jalan Tun Razak… mahal yang bukan-bukan (terlalu mahal). Kita boleh buat bangunan yang selesa dan mampu milik boleh diberi kepada penduduk di Putrajaya,” ujarnya yang merujuk kepada projek mega kerajaan BN iaitu pembangunan komersil  seluas 28 hektar  dikenali sebagai Tun Razak Exchange (TRX) yang bernilai RM40bilion.

Beliau turut berkata Putrajaya adalah bandar contoh yang diteladani oleh negara sepert Kazakhtan apabila ibukotanya dipindahkan ke sebuah bandar bernama Astana untuk membina sebuah bandar baru seperti Putrajaya.

“Kita boleh berbangga dengan Putrajaya.Kita tidak bazir wang. Kita belanja wang tetapi ambil kira setakat mana untuk belanja. Jika tidak ada duit kita tunggu.. kita tidak pinjam.

“Tetapi Najib bila nak buat sesuatu tidak ada duit pun… nak buat juga, belanja sampai RM60bilion hutang.

“Sekarang ini bukan dia yang nak bayar kita yang akan kena bayar,” ujarnya di hadapan hadirin yang mendengar ceramah bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-14 di Putrajaya malam tadi.

Sebagai rekod jumlah penjawat awam seluruh negara adalah 1.6juta orang yang mana 57 peratus adalah dikalangan guru, tentera, polis doktor dan jururawat iaitu seramai  917,210 orang.

Sheikh Aizuddin Shaari

Salah seorang hadirin Sheikh Aizuddin Shaari seorang pemastautin di Putrajaya sejak 2004 yang menetap di Presint14 mendedahkan ramai kakitangan awam kini semakin menyokong Pakatan Harapan.

“Saya ada ramai rakan-rakan yang bekerja di Putrajaya ini mereka juga menyokong Pakatan Harapan.

“Saya percaya isu-isu berkaitan kleptokrasi membabitkan kerajaan BN sebagaimana didedahkan pemimpin Pakatan Harapan.

“Putajaya ini sebuah bandar yang selamat dan berdaya maju Perbadanan Putrajaya telah melakukan perkara yang baik di sini.

“Jika berlaku perubahan kerajaan saya rasakan penjawat awam tetap menyokongan kerajaan baharu.

“Rakyat mahukan kepimpinan baharu yang mempunyai kredibiliti, integriti, kebolehan memimpin dan calon boleh lebih mendekati pengundi di sini kerana jika mereka tidak jaga siapa lagi yang nak jaga,” ujarnya yang hadir untuk mengenali calon Putrajaya
Datuk Dr Samsu Adabi.

Salah seorang penyokong yang tidak mahu menyebut namanya,  walaupun akan membuang undi di Melaka, tetapi hadir ke Putrajaya malam tadi untuk mendengar ceramah di kalangan kepimpinan.

Beliau selama ini lebih banyak mendengar ceramah pemimpin di dalam sosial media.

“Saya hanya datang untuk melihat penyokong yang hadir malam ini. Saya sangat bangga dengan rakyat negara ini yang bersama mahukan perubahan kepimpinan.

“Sama ada calon itu dari luar atau tempatan apa yang penting calon itu perlu berkredibiliti dan jujur menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin,” ujarnya yang akan mengundi di Bandar Hilir, Melaka.

Manakala seorang penjawat awam Muhammad Abdullah adalah pengundi di Putrajaya,berkata, pemilihan calon PH di Putrajaya adalah pilihan terbaik.

“Kita pilih calon tetapi kita mahu apa sumbangan yang mereka akan lakukan kerana ini akan mengukur khidmat mereka kepada masyarakat.

” Saya sebagai rakyat walaupun bekerja sdengan kerajaan rasa juga tertekan. Kalau harapkan pendapatan bulanan sahaja sedikit cemas melainkan jika kita ada pendapatan tambahan.

Muhammad Abdullah

“Saya mengharapkan calon Pakatan Harapan akan dapat mengurangkan beban rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata walaupun berlaku perubahan tampuk pemerintahan negara, penjawat awam adalah kakitangan yang sama akan terus menjalanan tugas mereka kepada sebuah kerajaan baharu.

“Kakitangan awam tetap orang yang sama kepimpinan saja yang berubah. Saya harap kakitangan awam tidak perlu risau atau takut untuk membuat pilihan pada PRU14,” ujarnya yang enggan menyatakan kementerian mana yang disertainya.

Putrajaya akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara  penyandang dua penggal  Datuk Dr Tengku Adnan Tengku Mansor (BN), Datuk  Dr Samsu Adabi Mamat (PH) dan Zainal Abidin Kidam (Pas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Tengku Adnan menewaskan Datuk Husam Musa dengan majoriti 5,541 undi.

Zainal Abidin Kidam ialah Ketua Pegawai Eksekutif Harakah dan Dr Samsu Adabi  ialah bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote