Mahathir ke pejabat Bersatu, tunggu berita kata beliau dipecat
Dr Mahathir duduk di kerusi dalam pejabatnya di Ibu Pejabat Bersatu, Petaling Jaya.

Mahathir ke pejabat Bersatu, tunggu berita kata beliau dipecat

Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad datang ke Ibu Pejabat Bersatu hari ini bagi menentukan apakah beliau dipecat dari parti itu atau tidak.

“Saya sekarang di ibu pejabat Bersatu, kata nak pecat, saya tunggu di pejabat,” kata beliau melalui twitternya sambil menyiarkan video gambar beliau memasuki pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

Semalam Mahathir dan empat lagi pemimpin Bersatu menerima surat pemecatan sebagai ahli parti itu selepas mereka duduk di blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu.

Pemimpin Bersatu yang menerima surat pemecatan itu adalah timbalan presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Pemuda, Syed Sadiq Abdul Rahman dan dua Ahli Majlis Tertinggi iaitu Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Mazlee Malik.

Ahli MPT Bersatu, Wan Saiful Wan Jan ketika menjelaskan surat pemecatan itu berkata, ia bukan pemecatan tetapi mereka terpecat dengan sendiri kerana duduk di blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat itu.

Tindakan Mahathir mendapat pelbagai komen terutama di atas keberanian tindakan beliau itu.

“Steady Tun. Lawan tetap lawan,” tulis seorang pengguna twitter bernama Yeh menggunakan ungkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau melawan Mahathir dahulu.

“Najib yang panglima Bugis pun tak berani lawan depan-depan… inikan Setiausaha Kerja,” tulis Shuhaimi Ismail yang berkicau di twitter mengulas tindakan Mahathir.

COMMENTS

Wordpress (0)