Malaysia Dateline

Mahathir kembali berkuasa antara amalan, perbuatan taubat, kata Mufti P.Pinang

Datuk Dr Wan Salim MohdNoor

Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata  umat Islam harus faham bahawa taubat bukan sahaja diucapkan melalui kata-kata seperti beristighfar tetapi yang lebih utama dilakukan dengan perbuatan dan amalan.

Umat  Islam yang baik ujarnya lagi,  mesti bertaubat daripada segala dosa dan kesalahan sementara kesempatan masih ada.

Oleh itu, sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad ingin kembali ke arena politik dengan hasrat untuk memperbetulkan kesilapan, maka tiada salahnya dari sudut pandangan Islam.

Namun ujarnya, jika tujuan Pengerusi Pakatan Harapan itu hanya untuk kepentingan diri, keluarga atau kroni maka tindakan sedemikian adalah salah dan merupakan suatu yg tidak wajar dilakukan.

“Jika seorang hamba Allah yang pernah menjadi pemimpin atau pemerintah dan banyak melakukan kezaliman dan kejahatan ketika memimpin rakyat jelata dan memerintah negara, maka taubat yang paling baik ialah dengan menegakkan keadilan dan melakukan kebajikan jika dia berpeluang kembali berkuasa.

“Jadi jika Dr Mahathir ada berniat untuk bertaubat dengan cara yang demikian maka eloklah jika dia kembali memegang kuasa dan menjadi pemimpin negara sekali lagi,” katanya seperti dilaporkan FMT semalam.

Wan Salim mengulas kenyataan penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin baru-baru ini, yang antara lain menyeru Dr Mahathir masuk sekolah pondok dan bertaubat atas dosa-dosanya semasa memerintah negara selama 22 tahun.

Dr Mahathir, 93,  adalah calon Perdana Menteri  Pakatan Harapan sekiranya menang pilihan raya umum akan datang.