Mahathir, Khairuddin, Anina fail permohonan mahkamah halang Najib lupus aset

Mahathir, Khairuddin, Anina fail permohonan mahkamah halang Najib lupus aset

Dalam usaha mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak melepaskan jawatannya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Datuk Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin telah memfailkan permohonan mahkamah untuk menghalang beliau melupuskan aset-asetnya.

Dalam satu kenyataan di laman facebook Khairuddin dipetik berkata, beliau bersama Mahathir dan Anina telah memohon agar Najib mendedahkan segala senarai aset-asetnya melalui surat sumpah dalam tempoh 10 hari dari tarikh perintah.

“Sekiranya mahkamah membenarkan permohonan ini dan andaikata Najib tidak mematuhinya maka kami akan arahkan peguam untuk mengambil tindakan lanjut bagi menghantar beliau ke penjara kerana menghina perintah mahkamah,” ujar bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan ini.

Mereka telah memfailkan permohonan itu semalam pada jam 10.30 pagi di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Hari ini pada jam 3 petang dijangka peguam mereka akan hadir di mahkamah untuk mengambil arahan lanjut berhubung kes tersebut daripada pendaftar mahkamah tinggi.

“Saya ingin merayu secara jujur dan ikhlas kepada rakyat Malaysia untuk berdoa akan kejayaan ini.

“Semoga daya usaha ini mendapat keberkatan dari Allah swt untuk terus melawan segala bentuk kemungkaran, rasuah serta salahguna kuasa di negara kita dewasa ini.

“Kami secara tawadduk dan jujur telah mengambil pelbagai pendekatan undang-undang ke atas Najib serta berharap beliau pun sepatutnya akan berani menghadapi kami bertiga di kamar mahkamah kelak,” ujarnya.

Menurut Khairuddin lagi beliau berasa agak hairan Presiden Umno itu, tidak berani untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak selama ini termasuk mereka bertiga.

“Kalau beliau kata tidak bersalah dan bersih dari segala tohmahan; tolonglah jangan takut untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas kami seterusnya kita biarkanlah proses undang-undang untuk membuat keputusan secara adil, saksama, telus serta tidak tunduk pada mana-mana tekanan eksekutif keatas bidang judisiari.” ujarnya.

TAGS