Mahathir lancar visi, misi baharu Agrobank

Mahathir lancar visi, misi baharu Agrobank

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini melancarkan visi dan misi baharu Agrobank sempena sambutan kemuncak 50 tahun Jubli Emas bank itu.

Visi baharu Agrobank ialah memperkasakan pertanian melangkau perbankan manakala misinya, menyediakan sokongan berterusan untuk manfaat komuniti, ekonomi dan pemegang taruh.

Turut hadir Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Khadijah Iskandar serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Terdahulu, Khadijah berkata menerusi visi dan misi baharu itu, Agrobank akan terus menyalurkan penyelesaian perbankan yang baik dalam mewujudkan nilai dan impak positif kepada komuniti, ekonomi, persekitaran dan pihak berkepentingan.

“Kami telah memandang ke hadapan dan bersedia untuk membangunkan sektor pertanian negara,” katanya dalam ucapan pada majlis itu pada Khamis.

Katanya dari segi pencapaian kewangan, Agrobank terus mencatatkan keuntungan setiap tahun, dan pada tahun ini, ia dijangka mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM200 juta.

“Setakat 2019, aset pembiayaan Agrobank telah mencapai lebih RM11 bilion, yang juga melebihi sasaran aset untuk 2020,” katanya.

Beliau berkata dari segi kualiti aset pembiayaan, Agrobank berjaya menurunkan kadar pembiayaan tidak berbayar daripada 22 peratus pada 2011 kepada hanya empat peratus pada 2019.

Agrobank bermula dengan penubuhan Bank Pertanian Malaysia pada Ogos 1969. Ia dijenamakan semula sebagai Agrobank pada 1 April 2008, sempena pengkorporatan Bank Pertanian Malaysia Berhad.

Ia memiliki sebanyak 192 buah rangkaian untuk pelanggannya, merangkumi 138 cawangan, satu perbankan agro, satu perbankan maya, 10 pusat pembiayaan komersial, 34 kiosk, lapan sudut dan pusat agro.– BERNAMA