Malaysia Dateline

Mahathir lawat masjid ikonik di Port Moresby

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakhiri kunjungan beliau ke Port Moresby hari ini dengan melawat Masjid Hohola, masjid serba guna pertama yang dibina di negara ini.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata perdana menteri adalah penyebab kepada pembinaan masjid itu pada 2001, yang dibangunkan di atas sebidang tanah sumbangan kerajaan Papua New Guinea kepada sebuah persatuan Islam setempat.

Bercakap kepada media Malaysia, beliau berkata dana bagi pembinaan masjid itu disumbangkan oleh beberapa pertubuhan, iaitu Majlis Da’wah Islamiah Serantau bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi, pertubuhan Islam di Indonesia, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu.

“Apa yang menarik adalah tanah itu pada asalnya ditawarkan kepada Tun Dr Mahathir bagi tujuan pembinaan masjid pertama di Papua New Guinea.

“Bagaimanapun, Tun, dengan cara beliau yang sering merendah diri, tidak mahu masjid itu dibina oleh beliau atau dinamakan mengambil sempena namanya, sebaliknya mencadangkan supaya masjid itu dibina oleh Persatuan Islam Papua New Guinea.”

Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jacksons di Port Moresby pada 5.30 petang (waktu tempatan) dan dijangka tiba di Kuala Lumpur malam ini.

Dr Mahathir dan pemimpin lain berada di sini untuk menghadiri sidang kemuncak tahunan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik.

— BERNAMA