Malaysia Dateline

Mahathir lebih bagus dari saya, akui Ku Li

Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah (foto) mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad lebih bagus daripada beliau dalam berpolitik dan yakin bekas perdana menteri itu tidak memerlukan apa-apa nasihat daripadanya.

Ini kerana jelas beliau, Tun Mahathir berpengalaman 22 tahun sebagai perdana menteri dan merundingkan banyak perjanjian untuk negara dan parti yang dipimpinnya.

“Dia lebih bagus daripada saya. Saya tidak rasa dia mahu dengar apa yang saya perlu katakan.

“Mestilah dia lebih bagus. Dia ada pengalaman 22 tahun sebagai perdana menteri. Dia telah melihat dunia, dia pernah runding perjanjian untuk negara, untuk parti. Siapalah saya berbanding dia?” ujar Tengku Razaleigh dalam temubual dengan laman portal berita tempatan, FMT, baru-baru ini.

Ditanya sama ada Tun Mahathir masih boleh memberi impak kepada politik negara, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li meyakininya.

“Boleh kerana pengalaman, pengetahuan luas tentang mengurus dan mengendalikan sesuatu. Sama ada dia akan berjaya, saya tak tahu. Dia tidak ada pasukan macam pasukan saya dalam Semangat 46,” ujar beliau.

Ketika diminta membandingkan “Team B”, kumpulan yang dipimpin olehnya ketika kempen pemilihan Umno 1987 yang menentang “Team A” dipimpin Tun Mahathir berbanding barisan menteri Umno dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak sekarang, Ku Li menjawab ringkas sambil ketawa, “Najib pembantu saya ketika itu”.

CADANG BERSARA

Ku Li juga membayangkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang kerana faktor usia dan penglibatan lama dalam politik.

“Saya tidak tahu. Saya mahu bersara. Saya benar-benar ingin bersara. Saya telah berkhidmat selama 45 tahun (sebagai ahli Parlimen), dan lebih 60 tahun dalam parti,” katanya.

Menurut Ku Li, beliau sepatutnya bersara sebelum pilihan raya umum lalu (PRU ke-13) namun diminta bertanding kerana dikhuatiri berlaku ‘penggantungan parlimen’ (kerajaan baru tidak dapat dibentuk kerana kumpulan parti bertanding, BN dan Pakatan Rakyat gagal mendapat majoriti).

Sebagai rekod, Pas menamakan Ku Li sebagai ‘calon perdana menteri’ walaupun tidak mendapat konsensus dua lagi parti dalam Pakatan Rakyat iaitu Keadilan dan DAP.

“Entahlah. Itulah yang mereka lakukan pada pilihan raya lalu. Saya sepatutnya bersara sebelum pilihan raya umum ke-13. Saya mahu berundur. Saya kini berusia 81 tahun. Berapa lama lagi anda mahu hidup?” ujarnya.

Kerabat Diraja Kelantan itu juga menyifatkan Tun Mahathir sebagai seorang yang istimewa kerana dalam umur 93 tahun masih mampu mengembara seluruh negara untuk berkempen.

“Dia istimewa! Jika dia tidak istimewa, saya tidak akan melawannya (ketawa),” jelas beliau.

Ditanya tentang rancangannya selepas bersara, Ku Li mengakui boleh melakukan banyak perkara.

“Mungkin berehat atau terlibat dalam kerja amal. Saya tidak berminat dengan wang. Saya tidak menerima sebarang pelantikan sejak saya berhenti menjadi menteri kewangan. Saya juga tidak menganggotai lembaga pengarah syarikat.

“Saya tidak mahu ke sana sini bagi pihak taikun dari London atau Jepun, untuk bertemu menteri ini dan pegawai itu. Bukannya kerana saya orang besar. Saya boleh hidup dengan pendapatan saya, tidak ada masalah.

“Saya tidak mencuri, saya tidak menipu,” katanya yakin.