Mahathir, Lee berunding di permukiman pertama di Putrajaya

Mahathir, Lee berunding di permukiman pertama di Putrajaya

Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong akan berunding pada permukiman pertama mereka esok (April 9) bersempena Permukiman ke-9 Pemimpin-pemimpin Malaysia–Singapura di pusat pentadbiran Malaysia di sini.

Pada permukiman itu, kedua-dua perdana menteri dijadual mengadakan pertemuan empat mata diikuti satu mesyuarat delegasi, kata Wisma Putra hari ini.

“Mereka dijangka membincangkan isu-isu keprihatinan bersama, mengkaji kemajuan kerjasama yang sedia wujud, dan meninjau bidang kerjasama baharu demi faedah bersama,” Wisma Putra menyatakan demikian bersempena permukiman itu.

Lee, yang dijadual tiba di Malaysia hari ini, akan diiringi oleh beberapa orang menteri dan pegawai kanan republik itu.

Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan menjadi hos pada jamuan tengah hari untuk delegasi berkenaan.

Dr Mahathir baru-baru ini menyatakan bahawa Malaysia dan Singapura akan membincangkan isu-isu  bilateral yang belum selesai dalam suasana persahabatan semasa permukiman itu.

Antara isu itu ialah masalah air, ruang angkasa dan sempadan maritim, kata beliau.

Malaysia dan Singapura merupakan rakan perdagangan kedua terbesar antara satu sama lain dengan jumlah dagangan bernilai USD 59.92 bilion pada 2018.

Kedua-dua negara mengadakan kerjasama kukuh dalam bidang  pelaburan, pendidikan, pertahanan, pertanian, pengangkutan, penerangan dan komunikasi, pengurusan bencana dan juga perkhidmatan awam.  – BERNAMA