Malaysia Dateline

Mahathir mendahului semua keputusan?

Semua teka-teki isu peralihan kuasa terjawab kerana Tun Dr Mahathir  Mohamad telah melepaskan jawatan Perdana Menteri lebih awal daripada APEC pada November dan perjanjian Pakatan Harapan pada Mei genap dua tahun PH ambil alih  kerajaan selepas PRU14.

Kini sudah terjawab 24 Februari 2020 lalu, adalah tarikh pilihan Dr Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Peletakan jawatan Perdana Menteri itu mengakhiri isu peralihan kuasa yang  menjadi perdebatan dan provokasi antara PH dan Pembangkang tidak kurang juga dikalangan penyokong parti di laman sosial untuk bercakap mengenai  tarikh penetapan peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ramai pula yang terkedu keputusan diluar jangka itu selepas dua hari  mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan diadakan tiada siapapun yang dapat meneka keputusan Dr Mahathir itu.

Apa pun senario di sebalik peletakan jawatan Dr Mahathir itu, ia  ditafsirkan penulis, sebagai satu langkah setapak ke hadapan walaupun ada yang mendakwa keputusan itu dibuat saat akhir kerana tidak sehaluan  dengan anggota Bersatu yang mahu keluar dari gabungan PH maka Dr Mahathir  bertindak meletakan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu hari sama.

Dengan perkenan Yang Dipertuan Agong melantik Dr Mahathir sebagai ‘Perdana Menteri Interim’ sejajar dengan peruntukan perundangan di bawah Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan, kuasa YDP Agong melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen yang baginda berpendapat mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Ramai pula yang mempersoalkan mengapa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tidak diberikan ruang untuk memangku jawatan Perdana Menteri? Sudah pasti jawabannya mudah, seorang Perdana Menteri wanita tidak menjadi keutamaan bagi sebuah negara bernama Malaysia walaupun Wan Azizah berbangga beliau wanita pertama negara ini yang berjaya memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Apatah lagi tiada peruntukan dalam undang-undang untuk Timbalan Perdana  Menteri menjadi pemangku Perdana Menteri sekiranya Perdana Menteri meletakan jawatan.

Keputusan dibuat oleh Dr Mahathir ini bukan calang-calang mampu dilakukan  oleh seorang Perdana Menteri sekiranya beliau sendiri tidak memahami  percaturan politik dan permainan politik kotor dikalangan ahli dalam  parti gabungan PH dalam isu peralihan kuasa ini, selain isu Melayu dan  Bumiputera yang menjadi dasar perjuangan parti Bersatu yang didokongi  beliau penubuhannya itu.

Apa yang jelas sebagai Perdana Menteri Interim Dr Mahathir mempunyai peluang untuk membentuk barisan kabinet barunya dalam tempoh terdekat selepas pertemuannya dengan ketua-ketua parti politik.

Dr Mahathir dilihat mendahului keputusan peralihan kuasa itu dengan pelan untuk menyusun semula barisan kabinet baru yang berdiri teguh dan padu di  belakangnya untuk bekerja bersama dengannya mentadbir negara sehingga  tamat tempoh penggal, itu telahan ramai pemerhati politik berhujah sama ada bersama PH atau Muafakat Nasional.

Berdasarkan situasi semasa parti-parti yang wujud terdiri daripada dua  kelompok yang bermusuhan diterajui team Muafakat Nasional (Umno-BN-Pas) dan PH (PKR-AMANAH-DAP).

Selain dua blok ini Bersatu yang keluar PH bergabung dengan Muafakat  Nasional, 11 MP bebas dari PKR yang dipecat dan keluar parti, sementara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan tidak menyebelahi dua team  tersebut tetapi menyokong Dr Mahathir.

Selain bersandarkan kepada pernyataan beberapa pimpinan negeri di Kedah,  Melaka dan Perak yang mempunyai majoriti tipis masih berada dalam situasi tenang dan tidak goyah.

Sekiranya PH dapat mengekalkan kerajaan Persekutuan dengan penyertaan Dr  Mahathir, tidak mustahil Bersatu kemungkinan besar akan melakukan ‘u-turn’ kepada PH jika Dr Mahathir kembali sebagai Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri.

Keputusan Dr Mahathir meletakan jawatan sebagai Perdana Menteri boleh  dilihat sebagai satu tindakan drastik kena pada masanya, dalam usaha  peribadi beliau untuk menyelesaikan isu perlaihan kuasa dan rombakan  kabinet..

Setelah Dr Maszlee Malik (bekas menteri pendidikan) menjadi ‘kambing  hitam’ bagi memastikan rakyat melihat usaha dilakukan Dr Mahathir untuk memperbetulkan perjalanan kabinetnya.

Dr Mahathir melantik dirinya sebagai pemangku menteri pendidikan, mengapa?  Sudah pasti beliau menghidu lama, ada usaha dalam kepimpinan Bersatu untuk keluar dari gabungan PH.

Sebenarnya,tidak cukup dengan Dr Maszlee kerana ia tidak akan mengubah  apa-apa dalam pencapaian kabinet secara keseluruhan, maka rombakan kabinet perlu dibuat secara tuntas kerana beliau sendiri tidak berpuashati dengan  indeks pencapaian beberapa menteri kabinetnya di bawah gabungan PH ini.

Maka sudah terang lagi bersuluh sokongan semua pemimpin parti terutama PH  berdiri  teguh kepada Dr Mahathir selepas peletakan jawatannya sebagai Perdana
Menteri, adalah kebijaksanaan Dr Mahathir menarik rambut di dalam tepung, agar tepung tidak berserakan dengan tergugurnya jawatan semua menteri kabinet secara automatik, dalam usaha menyusun semula barisan kabinet barunya.

Akhirnya pimpinan utama PH secara berjamaah terpaksa mengakui menyokong  kepimpinan Dr Mahathir tanpa limit bagi mengelak PH tersungkur di pintu kekalahan jika berlaku pembubaran Parlimen  dan PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini.

Sebagaimana desakan Muafakat Nasional untuk mendapat perkenan YDP Agong  agar membubarkan Parlimen memberi laluan kepada rakyat menentukan kepimpinan negara.

Walaupun Muafakat Nasional memgumumkan menarik balik sokongan kepada Dr  Mahathir kerana tidak mahu bersekongkol dengan DAP dan mendesak bubarkan Parlimen, ia tidak akan mempengaruhi  sepenuhnya keputusan Dr Mahathir atau YDP Agong kelak.

Percaturan politik yang dapat dilihat pasti Dr Mahathir akan kekal sepenggal pemerintahan dengan barisan kabinet barunya yang menyokong padu usaha beliau ke arah pemulihan ekonomi dan pentadbiran negara sehingga berakhirnya PRU14 kelak.

Akhirnya Dr Mahathir mendahului keputusan semua pihak untuk terus kekal  berkuasa sepenggal di bawah PH dengan pembentukan kerajaan baharu kerana beliau adalah Perdana Menteri interim dan sokongan ke atas beliau juga bergantung kepada majoriti 2/3 sokongan dewan rakyat dan diperkenankan  oleh YDP Agong.

Tidak mustahil Dr Mahathir akan dinobatkan Perdana Menteri tiga kali  memerintah sebagai PM4, PM7 dan PM8 bersandarkan padunya sokongan terhadap beliau sebagai Perdana Menteri.

Cuma kita tidak tahu siapa Timbalan Perdana Menteri yang bakal dilantik. Mungkinkah Anwar?