Mahathir mengamuk dengan Anwar, “buktikan saya bolot kekayaan untuk diri dan keluarga”

Oleh KIM SYAZIE

Walaupun sudah sampai usia untuk duduk berehat di rumah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih lantang bersuara mengenai hal politik.

Susulan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Tun Mahathir yang dikatakan membolot kekayaan, beliau mahukan bukti dan bukan sekadar tuduhan.

Tun Mahathir dikatakan membolot harta kekayaan terhadap dirinya dan keluarga sewaktu memegang tampuk pemerintahan negara.

Tuduhan tanpa bukti itu dilihat bersifat fitnah malah beliau melihat dakwaan tersebut sebagai usaha untuk menghalang Perhimpunan Proklamasi Melayu yang telah dibatalkan.

“Dalam usaha untuk menghalang perhimpunan Melayu yang menjemput saya hadir, Anwar telah berkata, ada orang dulu, 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa,.

“Sekarang mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham.

“Saya ingin dapat bukti dari Anwar bahawa saya bolot untuk saya, untuk keluarga saya dan anak-anak saya,

“Membuat tuduhan memang mudah. Tetapi tuduhan yang tidak dibukti dengan jelas, tidak boleh diterima sebagai benar. Ia adalah fitnah,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Beliau turut mengeluh selepas kaum Melayu dilihat hilang segala-galanya selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Disebabkan itu beliau tampil menyertai usaha bagi menyedarkan orang Melayu namun disebabkan campur tangan kerajaan, ia tidak dapat dilakukan.

Isi kandungan Proklamasi tersebut dikatakan menepati peruntukan Perlembagaan negara dan Umno.

“Isi kandungan proklamasi ini menepati peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Perlembagaan Umno,

“Perhalangan pelancaran ini bermakna Kerajaan Anwar menolak Perlembagaan negara dan Perlembagaan Umno,” ujarnya.

Beliau juga menyifatkan tiada usaha daripada Umno dalam memastikan proklamasi ini berlangsung adalah kerana Umno tidak lagi berpegang kepada matlamat penubuhannya.

“Sebab itu puak lain perlu diadakan untuk melindungi hak orang Melayu dan Bumiputera lain,” tegas Tun Mahathir lagi.

Baca juga: Lawatan PM ke Arab Saudi: Ahli Parlimen Hulu Langat ‘sekolahkan’ pembangkang