Malaysia Dateline

Mahathir, menteri kabinet sertai rakyat sambut kemeriahan tahun baharu 2019

Tepat jam 12 tengah malam, percikan bunga api berwarna-warni menghiasi ruang udara di seluruh negara mengalu-alukan kemunculan tahun baharu 2019.

Meskipun 2018 dipenuhi dengan pelbagai peristiwa yang meninggalkan kenangan pahit dan manis, namun kedatangan tahun baharu disambut dengan cukup meriah menerusi pelbagai acara di seluruh negara, disertai ribuan rakyat berbilang kaum dan agama.

Di PUTRAJAYA, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama ribuan rakyat Malaysia menyambut detik tengah malam tahun baharu 2019 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dengan sinaran lampu berwarna-warni dan pertunjukan bunga api, termasuk bunga api digital.

Acara sambutan tahun baharu penuh aneka warna itu bersempena Festival Light and Motion Putrajaya (Lampu) 2018 di Dataran Putrajaya, di sini.

Dr Mahathir bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang tiba di Dataran Putrajaya pada 11 malam disambut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Sejurus tiba Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah menyaksikan persembahan ‘Projection Mapping Lampu 2018”.

Selepas detik tengah malam, Dr Mahathir dan para pengunjung menyaksikan pertunjukan bunga api dan bunga api digital selama enam minit, kemudian berkumandang ‘Negaraku’.

Dalam ucapan ringkas sebelum detik tahun baharu, Dr Mahathir menyarankan agar rakyat Malaysia berusaha lebih gigih untuk menjadikan Malaysia Negara Maju menjelang 2025.

“Ini adalah cita-cita kita. Semua pihak perlu mencetuskan keadaan damai dan sama-sama membangunkan negara kita,” katanya.

Dr Mahathir yakin tahun baharu akan membawa banyak nikmat kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Saya yakin kita semua akan bekerjasama untuk membangunkan negara bertuah ini. Ini adalah negara kita bersama dan terpulang kepada kita semua untuk mencorak negara ini,” katanya.

Tonton video di sini

Di KUALA LUMPUR , hujan renyai tidak menghalang warga kota memenuhi ruang legar pusat beli-belah Sunway Velocity bagi menyambut kedatangan 2019 yang dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanah air.

Pusat beli-belah itu juga melanjutkan waktu operasinya sehingga 12 tengah malam bagi membolehkan pengunjung menikmati aktiviti membeli-belah dan pengunjung turut berpeluang merakam kenangan di ruangan mengambil gambar yang disediakan di samping menjamu selera di lebih 40 trak makanan.

Persatuan Peminat Seni Warisan Tan Sri P. Ramlee Malaysia (PERWALEE) mengambil inisiatif menyambut kedatangan tahun baharu dengan menganjurkan persembahan seni silat di Kompleks Muhibbah, Ampang Jaya dalam usaha mempertahankan seni warisan tersebut.

Di PERAK, padang Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim dipilih sebagai lokasi sambutan Ambang Tahun Baharu 2019 sebagai usaha kerajaan negeri mendekati rakyat.

Untuk hadir ke acara tersebut yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak Howard Lee Chuan How mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Turut menjadi tumpuan, taman tema Lost World of Tambun dengan hampir 10,000 pengunjung.

Di KELANTAN, Sambutan Tahun Baharu 2019 yang bertempat di Dataran Bandaraya Majlis Perbandaran Kota Bharu disambut dengan sedikit berbeza apabila diadakan Malam Pengucapan Puisi dan Kayuhan Basikal.

Bermula kira-kira 8 malam, ratusan pengayuh basikal menyertai kayuhan mengelilingi bandar Kota Bharu sejauh kira-kira 30 kilometer selain persembahan dikir barat dan Karnival Azam Tahun Baharu.

Di SARAWAK, hujan lebat kira-kira dua jam bermula 7.40 malam tidak menghalang ribuan penduduk dan pelancong asing membanjiri kawasan Kuching Waterfront, bersama-sama menunggu detik 12 tengah malam dan pelancaran Kempen Melawat Sarawak oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Di SABAH, kira-kira 1,000 penduduk setempat termasuk pelancong memeriahkan Program Gagar 2019 #kasijadi anjuran Sabah FM sempena sambutan ambang tahun baharu di Dataran Waterfront Segama, Kota Kinabalu.

Lebih 2,000 penduduk pula memenuhi Pantai Pasir Putih, Sandakan bagi memeriahkan sambutan ambang tahun baharu anjuran Parlimen Batu Sapi dengan dihiburkan persembahan nyanyian artis Sandakan FM serta pertunjukan bunga api tepat detik 12 tengah malam yang dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Di SELANGOR, sambutan ambang tahun baharu 2019 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam menyaksikan kelainan apabila ia disambut dengan gema bacaan selawat yang diketuai pendakwah terkenal Al-Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid sebagai tanda kesyukuran untuk melangkah ke tahun baharu 2019.

Program Selangor Berselawat 2019 yang turut dihadiri Menteri Besar, Amirudin Shari dan lebih 1,000 penduduk bermula 9.30 malam.

Di NEGERI SEMBILAN, Karnival Tahun Baharu & Malam Ambang 2019 yang diadakan di Dataran Nilai disambut 8,000 pengunjung pelbagai kaum dan peringkat umur dan dimeriahkan dengan persembahan beberapa artis tempatan antaranya Ara Johari, Syamel dan Datuk Hattan.

Di ,JOHOR sambutan tahun baru 2019 memberi kegembiraan kepada pengguna motosikal di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) khususnya warga Johor Bahru yang bekerja di Singapura berikutan pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, lebuh raya terbabit.

Gimik pemansuhan kutipan tol tersebut dilakukan Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir, di plaza tol terbabit di Gelang Patah, malam ini.

Di TERENGGANU, sambutan ambang tahun baharu di Stadium Tertutup Gong Badak berlangsung dalam suasana sederhana dengan kira-kira 3,000 orang memenuhi stadium itu bagi menyambut detik-detik ketibaan tahun baru dengan pengisian program berbentuk keagamaan, spiritual dan hiburan berkonsepkan Islamik yang bermula sejak jam 5 petang.

Pada acara sambutan itu, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut membuat gimik pelancaran hari Jumaat sebagai hari ilmu dan Sabtu sebagai hari keluarga rakyat Terengganu.

Di PULAU PINANG lebih 1,000 pengunjung menyambut tahun baharu 2019 dengan bergaya bila acara penuh meriah itu dilangsungkan di ketinggian 816-kaki dari aras laut di menara hiburan ikonik paling tinggi di pulau ini, The TOP Penang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow tiba pada jam 11.10 malam bersama pengasas dan ketua pegawai eksekutif Only World Group Holdings Berhad Tan Sri Richard Koh serta pengasas bersama dan ketua pegawai operasi syarikat berkenaan Puan Sri Jean Koh dan eberapa orang anggota Exco negeri untuk menyambut kedatangan tahun baharu.

Di KUANTAN, tiada sebarang acara sambutan tahun baharu diadakan, namun penduduk sekitar daerah ini berkumpul di Pantai Teluk Chempedak, untuk bersantai bersama keluarga.

Dalam pada itu, hampir 100 penganut agama Sikh menghadiri upacara sembahyang kesyukuran bagi meraikan kedatangan tahun baharu di Rumah Ibadat Sikh Gurdwara Sahib, yang bermula pada 10 malam.- BERNAMA