Mahathir minat darjah kebesaran ‘Kerja Sampai Mati’

Mahathir minat darjah kebesaran ‘Kerja Sampai Mati’

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara berseloroh memberitahu beliau hanya berminat untuk terus bekerja sehingga akhir hayat.

Menurutnya, darjah kebesaran lain tidak perlu buat beliau pada pada usianya yang hampir satu abad itu.

“Selagi boleh bercakap saya bercakap, dah 93 tahun dah, tak berapa banyak tinggal (masa).

“Nak buat kerja sampai mati, bintang-bintang lain tak elok (bagi saya) yang elok ialah KSM. Itu bintang yang saya minati,” ujarnya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Sungai Koyan sempena hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut berkata, khidmatnya kepada negara bukan kerana duit sebaliknya kerana sayangkan negara.

“Ini negara kita, kita dilahir di sini, dibesar di sini, berkahwin di sini, dapat anak di sini dan anak kita dapat banyak manfaat daripada negara ini.

“Tak sayangkah kita kepada negara kita ini? Maka, kita ingin lihat negara ini ditadbir oleh orang yang baik,” katanya di hadapan pengundi termasuk komuniti Orang Asli.

Mengakhiri ucapan beliau sepanjang 30 minit itu, Dr Mahathir sekali lagi menerangkan tentang keadaan dirinya.

“Oleh kerana rengkung saya tidak sedap, nak cakap banyak pun tak boleh. Maka, saya mahu merayu kepada tuan puan, orang Melayu, orang Asli, orang Cina, India, jangan sesekali undi calon BN. Undi calon PH,” tegasnya.

Beliau turut sempat mengusik calon PH, Manogaran apabila merayu pengundi memenangkan Naib Pengerusi DAP Pahang itu.

“Nama saya sudah lupa. Nampak gelap sikit. Nampak rambut dia putih,” kata Tun serentak disambut ketawa mesra hadirin termasuk komuniti Orang Asli.

Sepanjang Dr Mahathir berucap didapati masyarakat Orang Asli memberi tumpuan dengan kerap bertepuk tangan dan bersorak menyokong pemimpin yang lantang bersuara di pentas antarabangsa itu.