Mahathir minta tahap keselamatan sekolah agama di pertingkat segera

Tun Mahathir bercakap dengan salah seorang mangsa kebakaran Tahfiz di Keramat.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta tahap keselamatan sekolah-sekolah agama di seluruh negara dipertingkatkan segera.

Beliau yang melahirkan kesedihannya berhubung insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan menyifatkan ia sebagai tragedi yang berulang.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan mengingat kembali kebakaran yang berlaku kepada sekolah agama Taufikiyah Al Hilmiyyah atau Pondok Pak Ya di Kedah pada 1989 yang mengorbankan 27 nyawa.

Beliau yang hadir melawat mangsa di Hospital Kuala Lumpur kira- kira jam 7.30 petang semalam berkata, insiden yang berlaku di sekolah agama itu akibat tiada langkah keselamatan yang diambil oleh pemilik.

“Saya harap selepas ini semua sekolah agama boleh tengok balik langkah keselamatan ini.

“Sebab itu kalau pembinaan asrama ia perlu mengikut peraturan agar pelajar boleh keluar sekiranya berlaku apa pun bencana,” katanya kepada media.

Jeriji besi yang dipasang di semua tingkap antara punca mangsa tidak boleh selamatkan diri.

Dalam insiden kebakaran sekolah tahfiz yang terletak di Datuk Keramat itu, ia telah mengorbankan 21 pelajar dan dua guru.

Sejak dari petang semalam, ramai pemimpin yang turun melawat waris mangsa di HKL, antaranya Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai, Menteri Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom.

Selain Dr Mahathir antara pemimpin pembangkang yang hadir menziarahi mangsa ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan juga Adun Hulu Klang, Saari Sungib yang antara awal datang.

CATEGORIES
TAGS