Malaysia Dateline

Mahathir, Montley gesa kerajaan bebaskan Anwar untuk jalani rawatan perubatan

Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Peguam dari Amerika Syarikat (AS) Kimberly Montley hari ini mengeluarkan kenyataan bersama untuk mendesak kerajaan Malaysia mempertimbangkan keseriusan dan keadilan terhadap hubungan antarabangsa Malaysia mengenai kesihatan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi kenyataan bersama itu dalam satu mesyuarat yang diadakan antara Motley dan Dr Mahathir semalam telah membincangkan mengenai situasi semasa bekas timbalan perdana menteri itu.

“Kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan permintaan kami dengan serius dan demi keadilan dan hubungan antarabangsa Malaysia.

“Kami bersama bersetuju bahawa Anwar harus segera dibebaskan dari penjara. Beliau kini berada di hospital menjalani rawatan perubatan jangka panjang.

“Anwar adalah seorang tahanan politik dan telah menjalani hukuman penjara lebih daripada 34 bulan.

“Beliau dijadualkan untuk dibebaskan pada bulan Jun 2018 dan keadaan perubatan semasanya menjadi perhatian kepada keluarganya, kawan, dan orang di seluruh dunia.

“Sebagai tahanan yang kini berusia 70 tahun, Anwar memerlukan rawatan perubatan yang signifikan akibat penahanannya itu,” ujar kenyataan bersama tersebut.

Motley dalam sidang medianya semalam mengkritik Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menghalang beliau betremu anak guamnya Anwar.

Beliau menyifatkan halangan itu sebagai tidak wajar sama sekali, Motley berkata, beliau meminta kebenaran untuk bertemu Anwar di Hospital Kuala Lumpur atas kapasiti sebagai peguamnya.

Motley juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengkaji pembebasan segera pemimpin pembangkang itu.

Beliau berharap akan dapat bertemu Najib dan Zahid semasa beliau berada di Malaysia dalam beberapa hari ini.