Mahathir musuh Umno-BN, kata Zein Isma

Mahathir musuh Umno-BN, kata Zein Isma

 

 Ketua Penerangan Umno Selangor Datuk Zein Isma Ismail melahirkan rasa terkilannya terhadap ikrar yang dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ceramah pada Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Melawati pada Sabtu lalu.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Zein Isma menyeru kepada seluruh ahli Umno, bahawa mulai hari ini  Mahathir adalah musuh Umno dan musuh BN.

Ketua Penerangan Umno Selangor Datuk Zein Isma Ismail melahirkan rasa terkilannya terhadap ikrar yang dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ceramah pada Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Melawati pada Sabtu lalu.

Zein Isma mendakwa beliau berasa pelik dengan sikap bekas perdana menteri itu apabila mengajak pengundi supaya menentang Barisan Nasional (BN) dalam dua Pilihanraya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun ini.

“Mahathir ini ditahap nyanyuk. Kali ini saya yakin kepada rakyat biasa dan ahli Umno sudah berasa pelik dengan manusia bernama ‘Mahathir’.

“Dia sanggup gadaikan prinsip kerana emosi dan perasaan marah kepada Najib.

“Pada mulanya minta Najib letak jawatan, Najib tak letak jawatan, dia pula keluar Umno, kemudian dia bersekongkol pula dengan parti pembangkang yang diterajui DAP dengan agenda bersama mahu menjatuhkan perdana menteri.

“Secara peribadi saya amat terkilan dan sedih dengan apa yang diungkapkan. Saya menyeru kepada seluruh ahli Umno, bahawa mulai hari ini Mahathir adalah musuh Umno dan musuh BN!” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline malam tadi.

Zein Isma diminta mengulas kenyataan yang dibuat oleh Mahathir yang mengajak semua pihak bersatu untuk menentang BN pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar tanpa mengira siapakah calon yang akan menentang BN sama ada dari Pas atau Pakatan Harapan pada Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Melawati.

Sambung Ketua Umno Bahagan Subang ini lagi, tindakan Mahathir itu dilihat pelik kerana mengatakan jangan undi BN dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, lebih baik undi DAP.

“Saya nak tanya dia di mana letaknya maruah,prinsip seorang pemimpin yang satu ketika dulu dia diagungkan, dipuji, dihormati kawan dan lawan?

“Apa yang diungkapkan ini amat tidak boleh diterima.Peliklah!

“Dulu beliau yakini bahawasanya pemimpin dan ahli Umno yang bersekongkol dengan DAP merupakan pengkhianat kepada agama bangsa dan negara, hari ini kata-kata itu seharusnya ditujukan kepada siapa pula?

“Umno dan negara bukan milik Mahathir. Apabila diperkudakan oleh pembangkang
dan mengajak agar rakyat benci kepada kerajaan,” ujarnya.

Mengulas desas-desus kemungkin bekas Ketua Bahagian Umno Sungai Besar dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang,Dr Khir Toyo sebagai calon di Sungai Besar, beliau menafikannya.

“Siapa yang menyebarkannya adalah orang yang suka bawa fitnah. Ikut perundangan dan perlembagaan jelas, beliau tidak boleh bertanding. Tak logik. Walaupun dia di bawah parol masih lagi di dalam tahanan bukan bererti beliau sudah bebas.Tidak mungkin dia akan tercalon untuk bertanding PRK Sungai Besar mahupun dalam PRU14 kerana ikut perlembagaan dia tidak boleh bertanding dalam tempoh lima tahun,” ujarnya.

Desas-desus juga tersebar kononnya ada desakan, supaya calon BN di PRK di Kuala Kangsar dan Sungai Besar meletakkan pemimpin muda bertanding bagi menguji kemampuan kepimpinan sayap parti itu.

“Saya hairan jika ada suara-suara yang mahu bercakap soal beri peluang kepada calon pemuda, puteri atau wanita.

“Dalam kepimpinan usia bukan menjadi faktor sebaliknya gaya kepimpinan dan pendekatan lebih utama.

“Umno tidak pernah lekang mengenengahkan calon pelapis mudanya dalam setiap kali pilihan raya 35 peratus adalah pemimpin muda.

“Dalam PRK ini jangan bawa cerita lain. Apa yang penting fokuskan sumbangan dan gerak kerja kita. Ini prinsip yang kita kena pegang.

“Jika setiap pemimpin bercakap meletakkan calon ini, letak calon itu, bererti bukan satu perjuangan parti sebaliknya meletakkan kepentingan peribadi.

“Saya nasihatkan kepada pemuda dan puteri, kami juga pernah muda dulu tumpukan kepada khidmat untuk rakyat. Apa yang penting kita nak menang dalam PRK kita serah kepada pucuk pimpinan parti yang buat keputusan siapa calon dalam PRK kali ini.” ujarnya.

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan susulan kematian Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Mohammad dalam nahas helikopter 5 Mei lalu.

Pada PRU-13, Parlimen Kuala Kangsar dimenangi BN mengalahkan Pas, dengan majoriti 1,082, manakala di Sungai Besar dengan majoriti 399 undi.

TAGS