Malaysia Dateline

Mahathir nafi beliau VVIP yang berjumpa Azilah

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menafikan beliau  pernah mengadakan pertemuan dengan bekas anggota Unit Tindakan Khas Azilah Hadri.

Dr Mahathir juga menafikan dirinya ada kaitan dengan akuan bersumpah (SD) Azilah yang mendakwa Datuk Seri Mohd Najib Razak mengarahkan agar model Mongolia Altantuya Shariibuu dibunuh.

 Dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri, beliau juga menafikan dakwaan kerajaan di sebalik laporan SD melibatkan Azilah.

“Mahathir tidak pernah bertemu bekas komando polis Azilah Hadri, sejak pemenjaraannya atas pembunuhan warga Mongolia, Altantuya,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu berkata terdapat cubaan  untuk mengaitkan  nama Perdana Menteri  adalah “VVIP” yang didakwa bertemu Azilah di luar sejak Februari.

 Perdana Menteri menyerahkan perkara itu kepada siasatan pihak berkuasa sepenuhnya.
Semalam Dr Mahathir ketika ditanya media selepas menyaksikan majlis permeteraian perjanjian antara TRX City Sdn Bhd (TRXC) dan IWH CREC Sdn Bhd (IWH-CREC) enggan mengulas ketika soalan itu diajukan kepadanya sama ada VVIP yang dimaksudkan itu adalah diri beliau.