Malaysia Dateline

Tun Dr Mahathir Mohamad

Mahathir nafi dakwaan Bersatu tidak letak calon di Pekan

Tun Dr Mahathir Mohamad menolak penyebaran khabar angin kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Pekan.

Dalam kenyataan rasmi hari ini Pengerusi Bersatu itu memaklumkan dakwaan yang dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu semata-mata untuk memastikan calonĀ  BN iaitu penyandangnya Datuk Seri Mohd Najib Razak kekal di P086 Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini.

“Saya diberitahu ada pihak mendakwa calon PPBM yang diamanahkan oleh Pakatan Harapan untuk kerusi Pekan tidak bertanding.

“Ini tidak benar sama sekali. Calon Pakatan Harapan yang telah dipersetujui ialah Muhammad Zahid Md Arip dan dia telah menggerakkan jenteranya ke kawasan Parlimen tersebut.

“Kami sedar ada usaha-usaha untuk memastikan calon BN Datuk Seri Najib akan dapat laluan mudah dan hanya berhadapan dengan calon dari Pas yang dianggap sekutu BN.

“Datuk Seri Najib akan berhadapan dengan calon kami Muhammad Zahid dan dengan gelombang sokongan rakyat yang diperlihatkan kepada Pakatan Harapan kami yakin kehadiran calon kami membuat BN risau dan sangat tercabar ujarnya.

Zahid dinamakan sebagai calon apabila calon sebelum ini yang disenaraikan ialah Ketua Pemuda Bersatu Indera Mahkota Kamarul Ariffin Mohd Shahar rela hati mengundurkan diri apabila Dr Mahathir menasihatinya berbuat demikian bagi memastikan kerusi Pekan berjaya dirampas daripada BN.

Kamarul Ariffin dalam satu kenyataan semalam berkata, bekas perdana menteri itu sudah menjelaskan strategi untuk Pekan dan meminta beliau berkorban untuk memberi laluan kepada calon baru iaitu Muhammad Zahid Md Arip.