Mahathir percaya Abdul Gani ada alasan tidak dakwa Musa

Mahathir percaya Abdul Gani ada alasan tidak dakwa Musa
Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan semasa majlis pelancaran koleksi Not Emas Harapan keluaran Poh Kong di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.-Foto:Bernama

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad percaya bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mempunyai alasan tertentu tidak mendakwa bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berhubung kes rasuah pada 2012.

Beliau berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus memberi penjelasan berhubung perkara itu.

“Saya fikir perkara ini belum difahami sepenuhnya, dan saya fikir kita harus mendapatkan penjelasan bukan hanya oleh (bekas) Peguam Negara sendiri tetapi apa situasi sebenarnya yang berlaku pada ketika itu.

“Walaupun sekiranya beliau (Gani) memberi penjelasan atau tidak ia tidak akan membantu. Pihak lain termasuk SPRM perlu menjelaskan kenapa ketika itu tiada pendakwaan,” katanyakepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Poh Kong Gold Note of Hope semalam, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang menggesa Abdul Gani memberi penjelasan kenapa tidak mendakwa Musa pada tahun 2012.

Isnin lalu, Musa berdepan 35 pertuduhan rasuah kerana didakwa menerima RM253 juta rasuah berkaitan kontrak pembalakan.

Berhubung dakwaan bekas menteri yang juga anggota DAP, Datuk Zaid Ibrahim bahawa “jutawan” dan “tauke” mempengaruhi keputusan kerajaan Pakatan Harapan, Dr Mahathir berkata Zaid bebas memberi pendapat.

“Saya tidak perlu bersetuju dengan semua orang. Mereka bebas memberikan pendapat di negara ini.

“Mungkin dia ada bukti. Dia boleh tunjukkan bukti, berapa bilion yang saya ada” katanya.

COMMENTS